Prestasi Almera lebih padu

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Pengamal media hari ini berpeluang menguji pandu Nissan Almera edaran Boustead Sdn Bhd dari kawasan Perindustrian Lambak Kanan, Berakas dan sekitarnya dalam usaha memahami lebih mendalam prestasinya yang dilengkapi Powerbox, sebuah produk yang dibawakan oleh anak syarikat Boustead, Autoimagination ke negara ini.

Uji pandu Almera ternyata lebih meningkat prestasi pecutannya, terasa perbezaan ketara sama ada dalam mod normal atau eko melalui penggunaan alat tersebut.

Dengan pemasangannya tanpa memerlukan pengubahsuaian ketara dan pewayaran semula, Almera yang dipandu keluar dari persimpangan jalan memberikan pecutan ketara hasil daripada injap yang dibuka dan dikawal Powerbox.

Selain penambahan pecutan, jenama itu yang didatangkan dari Thailand dan dilancarkan di negara ini baru-baru ini juga sesuai untuk model kereta enjin turbo model 2017 ke atas, memberikan jaminan keselamatan dan kuasa tambahan. Ia sesuai bagi mereka yang ingin prestasi kuasa kuda enjin yang lebih mantap.

Nissan Almera telah meningkatkan prestasi pecutannya dengan penggunaan Powerbox.