BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Rating global Standard & Poor’s (S&P) telah menukar prospeknya terhadap rating lama ke atas Bank Baiduri kepada positif daripada stabil dalam laporan rating kredit terkininya.
Pertukaran berkenaan menambah baik rating kredit bank tersebut kepada BBB+/A-2 dengan prospek positif daripada BBB+/A-2 dengan prospek stabil.
Rating baharu ini menempatkan Bank Baiduri sebanding dengan bank-bank serantau yang terkemuka, menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri di sini, hari ini.
Menurut laporan itu, jelas kenyataan, perubahan berkenaan menggambarkan jangkaan agensi rating tersebut bahawa Bank Baiduri akan mengekalkan penimbal modal (capital buffer) secara mapan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan seterusnya dengan pengurusan modal yang memadai, membawa kepada pertumbuhan kredit sederhana, keuntungan yang memuaskan dan pengekalan keuntungan dalam tempoh tersebut.
Prospek positif itu juga menunjukkan bahawa S&P boleh meningkatkan ratingnya terhadap Bank Baiduri dalam masa 12 hingga 18 bulan seterusnya jika bank berkenaan mengekalkan penimbal modalnya.

Kenyataan menyatakan, S&P menjangka bahawa bank berkenaan akan menyaksikan pertumbuhan 3 peratus hingga 5 peratus, dengan sebahagian besar pertumbuhan dijana daripada pelanggan borong sementara kerajaan berusaha untuk merangsang ekonomi dan menyokong syarikat-syarikat tempatan menerusi kontrak daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, projek-projek pelaburan langsung asing, sektor minyak dan gas dan pembangunan infrastruktur.
Menurut ramalan S&P, pertumbuhan ekonomi Brunei akan meningkat kepada lebih 3 peratus dalam tempoh dua tahun seterusnya, disokong oleh harga tenaga yang lebih kukuh, permintaan luaran yang pulih, kejayaan berterusan negara dalam mengawal pandemik COVID-19 dan mengekalkan pertumbuhan dalam sektor petrokimia.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik berkata, “Sementara ekonomi mengalami pertumbuhan positif di tengah-tengah situasi COVID-19 yang bertambah baik di negara ini, perubahan rating ini adalah bukti kepada kekuatan, kedayatahanan dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan cepat kepada keadaan ekonomi.
“Ia juga menggambarkan kedudukan modal kita dan pengurusan kunci kira-kira yang kukuh,” tambahnya.
Beliau menjelaskan lanjut bahawa perubahan rating itu adalah gambaran positif terhadap prestasi kukuh bank berkenaan dalam tempoh 12 bulan kebelakangan, didorong oleh model perniagaan yang kuat memfokuskan terhadap perniagaan teras dan pertumbuhan mapan.

































