Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Prestasi industri sumber utama negara meningkat 25.8 peratus

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Secara keseluruhannya, prestasi keluaran kasar daripada industri sumber-sumber utama di Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan peningkatan yang positif pada 2021 berbanding 2020, iaitu meningkat sekitar 25.8 peratus, daripada $651 juta pada 2020 kepada $819 juta pada 2021.

    “Pencapaian ini secara amnya disumbangkan oleh peningkatan keluaran daripada industri pertanian dan agrimakanan, yang meningkat sebanyak 24.6 peratus, iaitu daripada $471 juta pada 2020 kepada $587 juta pada 2021 dan Industri perikanan, yang meningkat sebanyak 37.4 peratus, iaitu daripada $139 juta pada 2020 kepada $191 juta pada 2021.”

    Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong semasa membentangkan peruntukan untuk Kementerin Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) bagi tahun kewangan 2022/2023 pada hari keempat permesyuaratan MMN yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan lanjut bahawa peningkatan keluaran kasar daripada industri pertanian dan industri perikanan itu adalah berikutan peningkatan keluaran bagi beberapa komoditi utama termasuk ayam pedaging sekitar 22.3 peratus iaitu daripada 26,364.82 MT (2020) kepada 30,555.79 MT (2021), iaitu tahap keluaran yang paling tinggi pernah dicapai oleh negara setakat ini.

    Selain itu, peningkatan jumlah keluaran daging kerbau dan lembu sekitar 99.4 peratus iaitu daripada 2,148.75 metrik tan (2020) kepada 3,827.21 metrik tan (2021), peningkatan jumlah keluaran beras sekitar 6.4 peratus daripada 2,511.31 metrik (2020) kepada 2,672.00 metrik tan (2021) serta peningkatan jumlah keluaran perikanan, termasuk udang, sekitar 18.8 peratus iaitu daripada 16,575 metrik tan (2020) kepada 19,699 metrik tan (2021).

    Yang Berhormat Dato dalam pembentangannya juga mengongsi mengenai pencapaian sara diri keluaran industri pertanian dan perikanan pada 2021 iaitu bagi sektor ternakan, negara secara purata hampir mencapai tahap 100 peratus sara diri dalam bekalan ayam pedaging dan telur ayam dan sekitar 85 peratus sara diri bagi bekalan daging kerbau dan lembu, bagi sektor tanaman, negara mencapai sekitar 66.5 peratus sara diri bagi bekalan sayur-sayuran tropika dan sekitar 41.9 peratus sara diri bagi bekalan buah-buahan tropika, bagi sektor padi iaitu dalam penghasilan beras, negara mencapai secara purata sekitar 8.71 peratus sara diri serta bagi sektor perikanan, negara mencapai secara purata sekitar 87 peratus sara diri.

    Bagi mendokong usaha ke arah menjamin sekuriti makanan negara, jelas Yang Berhormat Dato, selain meningkatkan keluaran dan meningkatkan tahap sara diri, strategi bagi menjamin sekuriti makanan memerlukan penglibatan semua Kementerian dan Jabatan terutama yang relevan dengan bekalan makanan tempatan, bekalan import dari luar negara, kerjasama perdagangan antarabangsa (trade), isu kesihatan awam, isu keselamatan makanan, isu logistik dan pengangkutan, sama ada melalui darat, laut atau udara dan tidak kurang penting ialah penglibatan institusi-institusi pendidikan dalam Negara.

    “Oleh itu, perkara ini memerlukan pendekatan secara whole of government, whole of nation, melibatkan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan yang relevan serta dengan pihak-pihak swasta.”

    Perkara-perkara itu, jelasnya, adalah terkandung dalam Peta Jalan Industri Makanan yang disediakan secara bersama oleh KKSUP dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...