Prestasi jualan runcit memberangsangkan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Prestasi jualan runcit di negara ini pada suku kedua 2020 terus menunjukkan peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 1.6 peratus selepas peningkatan sebanyak 5.8 peratus (disemak daripada 4.3 peratus) pada suku pertama 2020.

Jumlah nilai jualan runcit pada suku kedua 2020 dianggarkan bernilai sebanyak $423.7 juta yang mana peningkatan jualan runcit ini didorong oleh kenaikan permintaan domestik bagi barangan tertentu berikutan beberapa langkah yang dilaksanakan disebabkan oleh situasi jangkitan COVID-19 di negara ini.

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini kelmarin, menyatakan pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian (online) semasa penutupan sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian, bertugas dari rumah (work from home) dan sekatan keluar negara membawa kepada peningkatan peralatan komputer dan telekomunikasi sebanyak 59 peratus, manakala gedung serba neka dan pasar raya yang merupakan dua aktiviti terbesar dalam sektor perdagangan runcit telah mencatatkan peningkatan jualan masing-masing sebanyak 7.7 peratus dan 7.3 peratus.

Sementara itu, hasil jualan bagi beberapa barangan lain telah menurun, seperti buku, surat khabar dan alat tulis di kedai khusus (33.8 peratus), tekstil, pakaian dan kasut (32.4 peratus), makanan dan minuman di kedai khusus (20.3 peratus) dan stesen minyak (18.2 peratus) disebabkan pengurangan perbelanjaan isi rumah bagi barangan tersebut.

Berbanding suku pertama 2020, hasil jualan runcit telah meningkat sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2020 antara lain disebabkan peningkatan jualan bagi peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus (29.5 peratus), barang rekreasi (17.4 peratus), perabot dan peralatan rumah (17.0) dan gedung serba neka (12.7 peratus).

Manakala bagi perkhidmatan makanan dan minuman di Negara Brunei Darussalam pada suku kedua tampaknya menurun sebanyak 12.4 peratus berbanding suku kedua 2019. Jumlah hasil bagi suku kedua perkhidmatan ini bernilai $71.1 juta.

Penurunan jualan perkhidmatan makanan dan minuman ini disebabkan pendapatan aktiviti restoran (15.0 peratus) dan Lain-lain aktiviti perkhidmatan makanan (38.3 peratus) yang berkurangan kerana impak daripada larangan perkhidmatan penyajian makanan (dine-in) di premis-premis makanan berikutan situasi jangkitan COVID-19 pada suku kedua 2020.
Manakala suku pertama 2020, perkhidmatan maka-nan dan minuman juga mencatatkan penurunan sebanyak 16.3 peratus.

Ini adalah disebabkan penurunan dalam hasil aktiviti restoran (18.3 peratus), kedai makanan segera (6.6 peratus) dan lain-lain aktiviti perkhidmatan makanan (36.0 peratus).

Indeks Jualan Runcit (IJR) dan Indeks Perkhidmatan Makanan & Minuman (IPM&M) adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan gambaran bagi tren perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan.

Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang JPES: www.deps.gov.bn.