Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Prestasi jualan runcit turun 3.9%

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Pada suku pertama (Q1) 2022, prestasi jualan runcit menunjukkan penurunan tahun-ke-tahun sebanyak 3.9 peratus dengan anggaran nilai menurun daripada $468.5 juta kepada $450.1 juta.

    Dari segi volum jualan, ianya juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 8.4 peratus tahun-ke-tahun, menurut kenyataan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), hari ini.

    Penurunan jualan runcit didorong terutamanya oleh penurunan jualan di stesen minyak sebanyak 21.7 peratus, berikutan kekurangan permintaan domestik memandangkan adanya pengurangan pergerakan berikutan pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian (online) dan juga sebilangannya bertugas dari rumah (work from home).

    Ini diikuti dengan penurunan jualan di gedung serbaneka sebanyak 5.6 peratus, jualan lain-lain 12.5 peratus, jualan tekstil, pakaian dan kasut 19.7 peratus, dan jualan perkakasan, cat dan kaca di kedai khusus 10.9 peratus.

    Di samping itu, volum jualan bagi aktiviti-aktiviti runcit ini juga mencatatkan penurunan.
    Bagi perkhidmatan makanan dan minuman pula, ianya juga telah menurun sebanyak 10.3 peratus berbanding Q1 2021 dengan anggaran hasil jualan menurun daripada $104.0 juta kepada $93.3 juta.

    Dari segi volum jualan, aktiviti makanan dan minuman juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 10.6 peratus tahun-ke-tahun.

    Penurunan hasil jualan makanan dan minuman adalah disebabkan terutamanya oleh hasil jualan restoran yang menurun sebanyak 12.6 peratus berikutan adanya had kapasiti yang ditetapkan iaitu sebanyak 75 peratus bagi memasuki premis tersebut berbanding kapasiti penuh pada suku pertama tahun sebelumnya yang juga selaras dengan volum jualan yang rendah.

    Ini diikuti dengan penurunan hasil jualan di kedai makanan segera sebanyak 5.7 peratus, aktiviti perkhidmatan katering 15 peratus, aktiviti penyajian minuman 12.7 peratus, dan aktiviti lain-lain perkhidmatan makanan 1.5 peratus.

    Berbanding dengan suku keempat (Q4) 2021, jualan runcit pada Q1 2022 telah meningkat sebanyak 4.8 peratus disebabkan oleh peningkatan jualan di gedung serbaneka sebanyak 6.7 peratus, jualan tekstil, pakaian dan kasut 44.1 peratus, jualan di stesen minyak 14.6 peratus, jualan jam tangan dan barang kemas 18.1 peratus, dan jualan di pasar raya 4.1 peratus.

    Manakala bagi perkhidmatan makanan dan minuman pula, ianya telah mencatatkan peningkatan sebanyak 19.3 peratus pada Q1 2022 berbanding Q4 2021 terutamanya disebabkan oleh peningkatan hasil jualan bagi Restoran sebanyak 24.4 peratus, kedai makanan segera 14 peratus, aktiviti lain-lain perkhidmatan makanan 9.6 peratus, aktiviti perkhidmatan katering 6.3 peratus, dan aktiviti penyajian minuman 6.8 peratus.

    Berbanding dengan Q4 2021, peningkatan pada aktiviti jualan runcit dan perkhidmatan makanan dan minuman ini adalah selaras dengan peningkatan permintaan domestik memandangkan langkah-langkah pengawalan telah dikurangkan seperti peningkatan kapasiti bagi kemasukan pelanggan ke premis-premis peniagaan iaitu daripada 50 peratus kepada 75 peratus berikutan dengan peralihan ke fasa endemik COVID.

    Indeks Jualan Runcit (IJR) dan Indeks Perkhidmatan Makanan & Minuman (IPM&M) adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan. Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang JPES: https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...