Friday, April 18, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prestasi mata pelajaran Pendidikan Islam amat menggalakkan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Pelajaran Al-Quran dan Amali Agama merupakan antara komponen mata pelajaran Pendidikan Islam bagi sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta yang terlibat dengan sistem Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman mengongsikan perkara tersebut semasa menjawab pertanyaan yang dikemukakan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin mengenai perancangan menangani isu prestasi mata pelajaran Al-Quran dan Amali Agama yang membimbangkan pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-21 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Semasa sesi persidangan, Yang Berhormat Pehin telah mengongsikan penilaian dan prestasi mata pelajaran Al-Quran dan Amali bagi tahun 2024.

    Beliau menjelaskan pencapaian pelajar-pelajar Tahun 2 hingga Tahun 5 di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta dalam mata pelajaran Pendidikan Islam secara keseluruhan adalah sangat menggalakkan iaitu seramai 18,675 daripada 21,838 pelajar atau 85.5 peratus telah memperoleh keputusan gred A hingga C.

    Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pendidikan melalui Jawatankuasa Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum akan terus berusaha meningkatkan lagi kemajuan dan pencapaian pelajar-pelajar ini dari semasa ke semasa.

    Prestasi pencapaian Al-Quran dan Amali Agama antara komponen mata pelajaran pendidikan Islam bagi sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta yang terlibat dengan Sistem Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum secara keseluruhan adalah sangat menggalakkan. – GAMBAR FAIL SIM Y.H
    Gambar Freepik

    Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan bagi mengukuh dan meningkatkan lagi pencapaian mata pelajaran Pendidikan Islam termasuk pelajaran Al-Quran dan Amali Agama.

    Ia termasuk latihan profesional untuk guru agama seperti Program Pemantapan Pedagogi, Bengkel Pengajaran Kitab Iqra’ dan Kursus Pendidikan Khas untuk meningkatkan kemahiran guru.

    Di samping itu, Kurikulum Pendidikan Islam sedang dikemas kini untuk memenuhi keperluan negara, selaras dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan Mazhab Syafi’ie, melibatkan pakar pendidikan dan guru-guru.

    Selain itu, Program Sokongan Pelajar iaitu program seperti sembahyang Fardu Zohor berjemaah, Bimbingan Solat, Bilal dan Imam Cilik, serta kelas Al-Quran juga diadakan di masjid dan surau untuk mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran pelajar.

    Dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut, jelas Yang Berhormat Pehin, ianya dihasratkan akan terus memperkasa dan meningkatkan lagi pencapaian dan kemajuan pelajar dalam Pendidikan Islam khususnya kemahiran pembacaan Al-Quran dan Amali Agama.

    “Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan pemantauan berterusan serta kerjasama padu semua pihak berkenaan di Kementerian Pendidikan dan KHEU melalui jawatankuasa yang telah ditubuhkan,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda