Prestasi pemanduan yang lebih selesa

Ramai yang mengimpikan mempunyai kereta mewah dan canggih serta berteknologi tinggi, salah sebuah kereta mewah yang dimaksudkan itu ialah Ferrari GTC4Lusso T.

Selain mewah, ia juga menyerlahkan status dan gaya, malah sesuai untuk kegunaan seharian serta boleh memuatkan empat penumpang dengan selesa. Walaupun sememangnya Ferrari mengekalkan DNA dua pintunya dan model ini menerima sentuhan konsep ‘Grand Touring’ yang tidak sahaja menjanjikan prestasi malah penuh dengan ciri praktikal.

Melihat pada reka bentuk model ini, ia diinspirasikan daripada segmen kenderaan ‘shooting brake’ coupe dengan bayangan ‘fastback’ menjadikan ia kelihatan unik. Pada bahagian hadapan, tampil gaya maskulin dengan gril tunggal besar yang berfungsi bukan sekadar aliran udara untuk sistem penyejukan malah membantu menambah kuasanya.

Sebagai ‘supercar’ praktikal, ia juga direka dengan lengkungan bumbung yang lebih rendah, namun masih lagi selesa terutama buat penumpang belakang. Padanan rim aloi bersaiz 20 inci 245/35 di hadapan dan 295/35 di belakang, berpadanan dengan panjang ke-seluruhan model ini iaitu 4,922 milimeter (mm) dengan kelebaran 1,980mm serta ketinggian 1,383mm.

Ciri lain menarik ialah ‘sirip’ tepi elemen sporty, empat saluran ekzos, pintu ketiga pada bahagian but dan lampu belakang berkembar signatur Ferrari seterusnya menyerlahkan gaya prestasi ‘Prancing Horse’ ini.

Sebagai ‘supercar’ praktikal, ia juga direka dengan lengkungan bumbung yang lebih rendah, namun masih lagi selesa terutama buat penumpang belakang. – Agensi
Ferrari GTC4Lusso T ini adalah ‘supercar’ dengan ciri unik serta praktikal yang pasti memukau mata memandang ketika di jalanan. – Agensi

Mudah dikawal

Dijana enjin pertengahan hadapan 3.9 liter V8 pengecas turbo berkembar, ia menghamburkan kuasa 602 PS pada 7,500 rpm dan daya tork maksimum 760 Nm pada 3,000 hingga 5,250 rpm. Sebaik memulakan pemanduan, dapat dirasakan kuasa yang dialirkan mencurah-curah, namun ia mudah dikawal mengikut keperluan penggunaan.

Ini kerana, melalui hasil pacuan stereng roda-belakang (4WS) dan peredam kawalan elektronik yang disepadukan dengan Kawalan Gelinciran Sisi (SSC3), ia menjanjikan pengendalian lebih responsif terutama ketika mengambil selekoh.

Lima mod pemanduan iaitu Ice, Wet, Comfort, Sport dan ESC off membolehkan ia disesuaikan dengan prestasi atau keselesaan serta keadaan cuaca di negara ini yang sering hujan adalah bertepatan dengan fungsi yang disediakan.

Pemanduan berprestasi dirasakan sungguh selesa dengan dwi-klac tujuh kelajuan daripada gear ketiga hingga tujuh, jumlah tork yang disalurkan meningkat sehingga maksimum apabila mencapai kedudukan gear paling tinggi.

Secara keseluruhan model Ferrari GTC4Lusso T ini adalah ‘supercar’ dengan ciri unik serta praktikal yang pasti memukau mata memandang ketika di jalanan. Tidak sekadar menyerlahkan status malah ia sesuai bagi kegunaan sekeluarga dengan muatan empat tempat duduk yang selesa.

Ciri keselamatan terbaik melalui Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS) membolehkan jentera ini mengesan titik buta, brek automatik dan pancaran lampu tinggi automatik boleh laras.

Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) serta angkup brek karbon seramik, empat beg udara dan bunyi signatur Ferrari melengkapi adunan mewah, prestasi, selesa dan selamat pada sebuah jentera mewah. – Agensi