Prestasi Petanque negara tunjuk peningkatan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jan – Persekutuan Petanque Brunei Darussalam terus komited mencari bakat-bakat baru dalam sukan Pertanque tempatan sebagai salah satu sukan ideal bagi semua lapisan usia.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Persekutuan Petanque Brunei Darussalam ketika ditemui sejurus selepas menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang mata terkumpul di dalam Liga Petanque Brunei Darussalam 2016 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

Haji Abdul Ghani bin Dato Paduka Haji Mohd Ali dalam temu bualnya menyatakan rasa berbesar hati dengan kemajuan Liga Petanque Brunei Darussalam dan mengulas mengenai kejayaan liga yang diungguli oleh Awang Mazlan dan Awang Wirna selaku barisan utama dan perintis sukan petanque di negara ini.

“Saya sangat kagum dengan pencapaian kedua-dua pemain ini dan pada saya, gandingan mereka juga mempamerkan persefahaman yang menggalakkan dan mereka menunjukkan pengalaman di dalam kejohanan serta saya percaya mereka menjadi contoh yang harus diteladani oleh generasi petanque yang baru kini,” tegasnya lagi.

Presiden Persatuan Petanque Brunei Darussalam, Haji Abdul Ghani (dua kanan)bergambar bersama ahli jawatankuasa tertinggi persekutuan dan para pemenang.
Presiden Persatuan Petanque Brunei Darussalam, Haji Abdul Ghani (dua kanan)bergambar bersama ahli jawatankuasa tertinggi persekutuan dan para pemenang.

Beliau turut mengulas penyertaan pasukan kebangsaan di peringkat serantau dan antarabangsa turut mempamerkan peningkatan yang positif dan katanya liga pada kali ini turut menunjukkan pencapaian pemain yang sangat mengalakkan.

“Persatuan Petanque sedar akan kekurangan pemain muda dalam sukan ini, namun katanya pihak persatuan akan terus bekerjasama dengan jabatan pembangunan ko-kurikulum bagi menyebar luaskan sukan ini ke seluruh negara, terutama kepada kalangan pelajar di peringkat sekolah rendah.