Prestasi ringgit jauh lebih baik

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Prestasi nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) adalah antara yang terbaik di antara mata wang utama dunia, walaupun berlaku perubahan kuasa parti kerajaan serta faktor-faktor luaran yang lemah.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, sejak akhir tahun 2017, nilai ringgit berbanding dolar AS hanya menurun sebanyak 2.2 peratus setakat 11 September 2018.

Ini adalah prestasi yang jauh lebih baik berbanding negara lain seperti dolar Australia, rupiah Indonesia, yuan China, won Korea Selatan dan dolar Singapura masing-masing telah merosot sebanyak 9.9 peratus, 9.8 peratus, 5.6 peratus, 5.7 peratus dan 3.0 peratus dalam tempoh yang sama berbanding dolar AS.

“Kekuatan relatif ringgit Malaysia berbanding kebanyakan mata wang utama dunia menunjukkan betapa ramai pelabur tempatan dan antarabangsa yakin terhadap Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan amat yakin kedudukan nilai mata wang ringgit hanya akan bertambah baik dalam jangka masa sederhana selepas masalah hutang dan skandal-skandal Barisan Nasional seperti 1Malaysia Development Bhd diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim membidas dakwaan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini mengkritik kerajaan bahawa nilai mata wang ringgit tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga minyak mentah sedunia.

Menurut Lim dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana nilai ringgit tidak hanya ditentukan semata-mata oleh harga minyak mentah dunia.

“Beliau sengaja gagal mengambil kira faktor-faktor penting seperti kadar peningkatan kadar faedah AS, kemelut kewangan negara-negara membangun dan ketidaktentuan hala tuju ekonomi dunia akibat perang perdagangan antara AS dengan China,” katanya. – Bernama