Prestasi Shahrel petanda positif – Zaquan

SEPANG, 12 Sept – Kapten pasukan bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak menganggap prestasi memberangsangkan yang dipamerkan oleh penyerang Shahrel Fikri Md Fauzi sebagai petanda positif untuk skuad Harimau Malaya.

Walaupun Shahrel boleh dianggap sebagai pesaingnya dalam merebut tempat di jentera serangan, pemain berusia 31 tahun itu melihatnya dari sudut positif demi peningkatan prestasi pasukan kebangsaan.

“Ia adalah baik untuk sesuatu pasukan untuk memiliki pilihan pemain yang ramai. Saya rasa setiap pemain ada kelebihan masing-masing, ini merupakan sesuatu yang positif dan saingan sihat untuk pasukan, Sharel ada kelebihannya sendiri dan begitu juga dengan pemain-pemain yang lain.

“Saya sangat berterima kasih kepada Sharel kerana dengan pengalaman yang ada di Liga 1 Thailand, beliau dapat membawanya ke skuad kebangsaan. Kita juga dapat mempelajari sesuatu dari dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi, sejurus tiba di tanah air selepas mengharungi dua aksi persahabatan bersama skuad Harimau Malaya menentang wilayah autonomi China, Taiwan dan Kemboja.

Mohd Zaquan ditemu bual media selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, bersama pasukannya selepas aksi persahabatan antarabangsa menentang wilayah autonomi Taiwan dan Kemboja tempoh hari. – Bernama

Malaysia yang tewas 0-2 pada aksi persahabatan pertama menentang Taiwan di Taipei pada Jumaat lalu, bangkit menewaskan Kemboja 3-1 di Phnom Penh pada Isnin untuk mencatatkan kemenangan pertama Malaysia di tempat lawan sejak menewaskan New Caledonia 2-1 pada 22 Jun 2016.

Sharel yang kini beraksi di kelab Nakhon Ratchasima, muncul wira pada perlawanan di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh itu, apabila menjaringkan satu gol dan membantu menghasilkan dua lagi gol.

Mengulas lanjut mengenai dua aksi persahabatan itu, Mohd Zaquan berkata dua aksi itu membantu para pemain untuk mengenali satu sama lain dan mendapatkan keserasian di antara satu sama lain untuk persediaan ke Piala AFF pada November ini.

“Saya berharap dalam dua perlawanan persahabatan yang kita hadapi ini, kita dapat belajar sesuatu yang positif dalam…Harap kemenangan dengan kemboja ini beri suntikan semangat untuk kita bawa ke Piala AFF nanti,” kata pemain Kuala Lumpur itu.

Tiga lagi aksi persahabatan dijadualkan untuk Malaysia, yang menghuni ranking ke-171 dunia sebagai aksi pemanas badan sebelum Piala AFF, iaitu menentang Sri Lanka di Colombo pada 8 Nov, Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka (12 Okt) dan Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil (3 Nov).

Dalam saingan Piala AFF bakal bermula November ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar. – Bernama