Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Pencapaian atlet negara dalam sukan olahraga dan sukan bola jaring pada kejohanan Sukan Sekolah ASEAN (ASG) kali ke-10 di Kuala Lumpur awal Julai yang lalu, telah menunjukkan peningkatan.
Menurut pengurus bagi sukan olahraga, Awang Hafizan bin Hisham ketika dihubungi berkata kedua-dua atlet yang mewakili negara dalam kejohanan itu telah mencapai sasaran di mana mereka telah berjaya memecahkan rekod peribadi terbaik pada acara yang disertai.
“Kon Wei Liang yang menyertai Acara Lompat Jauh dan Lompat Kijang manakala Awang Mohd Shahrol Fikri bin Mohd Salleh yang bertanding dalam acara Larian 800m dan 1500m, telah memperlihatkan kemampuan setelah berjaya memecahkan rekod peribadi masing-masing pada kejohanan itu”, katanya.
Meskipun hanya mampu memecahkan rekod peribadi, kedua-dua atlet ini masih perlu mengikuti program latihan yang berkualiti bagi menandingi para atlet dari negara-negara ASEAN yang lain.
Memandangkan usia mereka masih muda, mereka perlu diberi pendedahan secara lebih meluas pada setiap kejohanan sama ada di dalam atau luar negara. Ini adalah bagi memastikan kesediaan mereka dalam menyertai kejohanan di peringkat serantau dan antarabangsa pada masa akan datang.

Manakala, pengurus bagi skuad bola jaring negara, Pengiran Nurizzati binti Pengiran Arifin memberitahu, skuadnya telah berjaya menduduki di tempat keempat dalam kejohanan itu.
Ketika bercakap mengenai pencapaian skuadnya, pasukan negara telah menunjukkan corak permainan yang baik dari awal hingga ke akhir permainan dan mempamerkan potensi yang tinggi serta dapat mengadaptasi situasi permainan dengan baik.
Meskipun memiliki perbezaan dari segi fizikal berbanding peserta-peserta negara yang lain, namun ia tidak menghalang mereka untuk meneruskan persaingan dan mempamerkan prestasi yang tidak mengecewakan.
Pasukannya juga sentiasa mengadakan latihan bersama bagi menambahkan kemahiran, stamina dan ketahanan bagi kejohanan yang akan datang, dan sokongan daripada pelbagai pihak. Selain itu, komitmen para pemain juga akan dapat membantu skuad negara melakar kejayaan pada masa akan datang.