Prihatin kebajikan, kesejahteraan penduduk

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan penduduk Kampung Bolkiah A dan Kampung Bolkiah B, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah berkenan berangkat membuat lawatan kerja ke Skim Perumahan Yayasan di kedua-dua buah kampung berkenaan di Mukim Sungai Kebun, hari ini.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke Skim Perumahan Yayasan Kampung Bolkiah A dan Kampung Bolkiah B dijunjung oleh Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Lawatan kerja Duli Yang Teramat Mulia dimulakan di kawasan tapak yang dicadangkan bagi pembinaan bangunan kekal sekolah agama di Kampung Bolkiah A.

Ini diikuti dengan lawatan ke pos polis sebelum berangkat ke cawangan pejabat Yayasan dan bengkel tenunan di Kampung Bolkiah A.

Bengkel tenunan berkenaan digunakan oleh penduduk kampung untuk menghasilkan produk tenunan sebagai sumber pendapatan mereka. Melalui perusahaan ini mereka juga dapat berkongsi kepakaran dan pengetahuan menenun kain tenunan untuk dipelajari oleh generasi akan datang.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat membuat lawatan ke bengkel tenunan. – Gambar oleh Muiz Matdani
DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan menandatangani lembaran kenangan dalam lawatan kerja berkenaan.
DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan beramah mesra bersama penduduk yang tinggal di Kampung Bolkiah A dan B, kelmarin.
DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan memeriksa salah sebuah rumah penduduk kampung yang mengalami kerosakan.
DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan memulakan lawatan kerja ke Kampung Bolkiah, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan mengadakan lawatan ke pos polis yang terletak di Kampung Bolkiah B.
DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan beramah mesra bersama penduduk yang tinggal di Kampung Bolkiah A dan B ketika mengadakan lawatan kerja, kelmarin.
DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan beramah mesra bersama penduduk kampung ketika mengadakan lawatan ke klinik kesihatan di Kampung Bolkiah B.
DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan melawat ke sekolah agama sementara di Kampung Bolkiah B.
DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan mendengar sembah penerangan mengenai tapak cadangan sekolah agama yang baharu.

Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan meneruskan lawatan ke beberapa buah tempat di Kampung Bolkiah B, antaranya cawangan pejabat Yayasan, mini perpustakaan, klinik kesihatan, sekolah agama sementara, Balai Ibadat Kampung Bolkiah B dan rumah Ketua Kampung Bolkiah B, Awang Shamsuddin bin Haji Maidin.

Semasa keberangkatan lawatan kerja berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan melawat beberapa buah rumah yang mengalami kerosakan. Duli Yang Teramat Mulia sangat memberi perhatian terhadap usaha Yayasan yang berterusan bagi menangani isu pembisaian dan kesejahteraan penduduk di kedua-dua kampung berkenaan.

Skim Perumahan Yayasan Kampung Bolkiah A dan Kampung Bolkiah B merupakan salah satu rancangan Yayasan dalam bidang kebajikan khususnya bagi menempatkan penduduk Kampong Ayer yang terlibat dalam kebakaran besar pada 1993.

Sebanyak 476 buah rumah dibina dalam skim perumahan tersebut iaitu sebanyak 226 buah rumah di Kampung Bolkiah A dan 250 buah rumah di Kampung Bolkiah B.

Perumahan Kampung Bolkiah A telah berkenan dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 22 Ogos 1994.

Baginda Sultan kemudian berkenan merasmikan Perumahan Kampung Bolkiah B pada 22 Mei 1995.

Skim Perumahan Kampung Bolkiah menempatkan seramai 2,956 orang penduduk.

Bagi kesejahteraan dan keselesaan para penduduk, beberapa kemudahan telah disediakan selain kemudahan asas seperti sebuah masjid iaitu Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampung Bolkiah A yang siap dibina pada Julai 2000, sebuah pos polis di Kampung Bolkiah A, sebuah klinik kesihatan di Kampung Bolkiah B, sekolah agama sementara di Kampung Bolkiah B dan sebuah jambatan utama yang menghubungkan kedua-dua buah kampung yang siap dibina pada April 2011.

Sebuah cawangan pejabat Yayasan juga disediakan di kedua-dua buah kampung bagi memberikan kemudahan kepada para penduduk membuat urusan dengan Yayasan.