Prihatin kebajikan penduduk kampung

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri, kelmarin, telah mengadakan majlis penutup Dikir Maulud yang diselajurkan dengan penyerahan sumbangan Projek Kiub Amal Kitani yang berlangsung di masjid berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri, Datin Hajah Dayang Nahriah binti Haji Asbi.

Majlis penutup dikir diserikan dengan Dikir Asyrakal oleh Kumpulan Ibadur Rahman dari masjid berkenaan manakala itu, Dikir Badat dibawakan oleh guru-guru dan murid Sekolah Ugama Dato Mohd Yassin, Kampung Mentiri. Sejurus selepas penutup dikir, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada sembilan orang peserta Projek Kiub Amal Kitani yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan daripada tetamu kehormat majlis dan orang ramai.

Projek yang diungkayahkan bersama Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah itu dihasratkan untuk membantu dan memeduli kebajikan penduduk kampung khususnya orang yang kurang berkemampuan di Kampung RPN Mentiri dan sekitarnya. Projek juga diharap dapat memupuk semangat kesedaran dan sifat tolong-menolong di samping menguatkan hubungan mahabbah dan silaturahim antara penduduk kampung.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin dan datin juga berpeluang melihat lebih dekat lagi penempatan Projek Kiub Amal Kitani masjid berkenaan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sumbangan kepada peserta projek kiub amal masjid tersebut.
Datin Hajah Dayang Nahriah bersama jemaah wanita pada majlis penutup Dikir Maulud di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.