Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Prihatin kesan emosi, psikologi mangsa banjir

    KUALA LUMPUR – Bencana banjir yang berlaku di lapan buah negeri di Malaysia termasuk Selangor dan beberapa daerah di Pahang serta Negeri Sembilan baru-baru sudah tentunya memberi kesan mendalam kepada kebanyakan mangsa yang terlibat, termasuklah dari aspek psikologi.

    Tragedi yang mengakibatkan kemusnahan besar harta benda dan setakat ini meragut 48 nyawa, membuatkan ada mangsa yang masih berada dalam keadaan terkejut, trauma selain mengalami gangguan emosi dan mental. 

    Menurut Pakar Perunding Psikiatri & Pengarah Pusat Kecemerlangan Klinikal MSU, Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi, reaksi psikologi kepada musibah di luar jangkaan ini amat bergantung kepada tahap ketegaran psikologi individu.

    Beliau berkata, terdapat mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda dan kehilangan ahli keluarga namun masih mampu kekal tenang dan fokus untuk meneruskan kehidupan, membaik pulih keadaan rumah, kenderaan dan sebagainya.

    Sebaliknya, terdapat juga individu yang dari segi perbandingannya, cabaran yang dihadapi agak sederhana sebagai contoh tersadai di tepi jalan untuk beberapa jam, namun mengalami tekanan sehingga tahap berputus asa.

    Penduduk Sungai Lui, Md Dodo baru mempunyai kesempatan mengemas kenderaannya yang dipenuhi lumpur selepas dua minggu banjir surut di Kampung Sungai Lui. – Bernama
    Salah seorang penduduk kelihatan sedih apabila kelengkapan rumahnya rosak akibat banjir. – Bernama

    “Antara faktor yang menentukan reaksi psikologi seseorang terhadap kejadian bencana seumpama ini termasuklah pengalaman silam berhadapan bencana, keberkesanan diri untuk menghadapi tekanan, pihak yang wajar dipertanggungjawabkan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

    “Mereka yang pernah menghadapi bencana yang hampir serupa mungkin lebih terkesan dan mendapat reaksi stres akut yang berat kerana kejadian itu mengingatkan mereka akan penderitaan dan kesusahan yang dialami semasa bencana terdahulu atau, mungkin juga mereka menjadi lebih tenang dan tabah kerana telah lali dengan dugaan sebegini.

    “Mereka yang mempunyai daya tahan yang kuat mungkin kurang terkesan dengan kejadian banjir besar ini, mampu segera mengadaptasi keadaan semasa dan mencari jalan penyelesaian terbaik akibat bencana ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Faktor semula jadi mudah diterima

    Mengulas lanjut, Dr Muhammad Najib berkata lazimnya semasa atau selepas kejadian bencana, individu cenderung untuk menyalahkan pihak tertentu seperti yang dapat dilihat yang berlaku di media sosial.

    Beliau berkata, mengikut kajian reaksi psikologi terhadap bencana, kejadian yang dilihat berpunca daripada faktor alam sekitar secara relatifnya lebih mudah diterima oleh mangsa berbanding bencana yang dilihat sebagai disengajakan atau disebabkan kesalahan atau ketidakprihatinan pihak tertentu.

    Tambah beliau, tahap kesiapsiagaan bencana adalah faktor penting untuk memastikan daya tahan psikologi seseorang dalam menghadapi bencana.
     
    Utama sokongan emosi, bantuan pakar

    Sokongan emosi adalah perkara paling penting kepada mereka yang terlibat dan pada peringkat awal keluarga atau rakan terdekat boleh mendengar keluhan serta bersifat prihatin apabila mangsa menyuarakan hasrat meminta bantuan.

    “Ini termasuklah bantuan praktikal seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya dan cuba membantu mereka menghubungi keluarga dan rakan terdekat sekiranya terputus hubungan (akibat banjir).

    “Di samping itu elakkan memberi kenyataan retorik seperti ‘mujurlah tiada yang meninggal’, ‘panjang lagi umur awak’, ‘ini semua adalah kifarah’, ‘mudah-mudahan dosa…’

    “Ini tidak bermaksud kenyataan itu salah namun dalam konteks situasi sekarang ia mungkin tidak sesuai kerana mangsa memerlukan masa untuk menerima dan reda akan musibah yang menimpa. Mungkin dengan cara mendengar dengan bersifat empati merupakan langkah paling tepat dalam tempoh terdekat selepas bencana,” jelasnya. 

    Dr Muhammad Najib bagaimanapun berkata, sekiranya mangsa menunjukkan gejala tekanan perasaan yang teruk seperti menjerit dan menangis secara berterusan serta sukar dikawal, bantuan segera perlu diberikan oleh sukarelawan terlatih seperti kaunselor, ahli psikologi klinikal atau ahli psikiatri.

    Bernama pada 23 Disember lepas melaporkan seramai 872 sukarelawan kaunselor yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ditempatkan di tujuh negeri yang dilanda bencana banjir bagi tujuan membantu memulihkan emosi dan segala permasalahan dihadapi mangsa banjir yang trauma dengan musibah menimpa mereka.

    “Kesan psikologi yang paling ketara adalah kecelaruan stres akutr (ASD), kecelaruan stres pasca trauma (PTSD) dan kecelaruan penyesuaian.

    “ASD dan PTSD mempunyai ciri-ciri yang sama. Gejala utama diklasifikasikan kepada gejala gangguan berbentuk gambaran berulang kejadian buruk atau mimpi ngeri kejadian, mengelak untuk bercerita mengenai bencana atau untuk pergi ke tempat kejadian, mood yang negatif termasuk murung dan terlalu beremosi, panik, mudah terkejut dan kadangkala berkelakuan seperti hilang ingatan dan kaku.

    “Cuma bezanya, ASD biasa berlaku sebaik sahaja bencana berlaku dan tidak terlalu lama, sementara PTSD gejalanya berterusan sehingga lebih sebulan dan kadangkala bermula selepas tempoh tertentu kejadian bencana.

    Kedua-dua keadaan ini memerlukan perhatian dan pemantauan oleh profesional kesihatan mental,” jelasnya menambah AD pula melibatkan gejala kemurungan, kegelisahan dan sebagainya yang agak ringan tetapi tetap mengganggu urusan harian penghidapnya dan memerlukan bantuan profesional.

    Optimum SOP COVID-19 masih ada

    Turut mengingatkan kepada rakyat pandemik COVID-19 masih belum berakhir, beliau berkata risiko jangkitan meningkat semasa bencana banjir sememangnya wujud kerana amat sukar mengikuti sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dalam situasi semua orang bertarung nyawa menyelamatkan diri dan harta benda termasuk sewaktu berkumpul di pusat pemindahan sementara (PPS).

    Tambahan pula, kebanyakan mangsa masih lagi dalam proses pemulihan daripada kesan psikososial pasca pandemik. Justeru kata beliau, dalam situasi mencabar ini, baik mangsa banjir, sukarelawan mahupun ahli politik dan seluruh anggota masyarakat perlu mencuba untuk memaksimumkan pematuhan SOP.

    Beliau pada masa sama berkata, bebanan mangsa banjir dapat dikurangkan dengan meningkatkan koordinasi bantuan termasuk dalam aspek pembersihan rumah, makanan dan kewangan baik di pihak kerajaan mahupun masyarakat secara keseluruhannya, selain memastikan bantuan yang diberikan sampai semaksimum mungkin kepada mangsa banjir.

    Dr Muhammad Najib menambah, bencana banjir besar ini seharusnya menginsafkan semua pihak agar lebih berhati-hati dalam urusan pembangunan negara kerana faktor alam sekitar termasuk kesan pemanasan global, perubahan iklim, pergerakan air bawah tanah dan kawasan tadahan banjir turut perlu diambil kira.

    Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerjaan yang juga Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, bencana banjir yang turut menjejaskan golongan pekerja, majikan termasuk mereka yang bekerja sendiri boleh memberi kesan trauma secara berfasa terutama semasa dan pasca banjir. 

    Bukan sahaja perlu memikirkan aspek kewangan apabila banyak harta benda baik di rumah mahupun tempat kerja musnah, golongan pekerja dan majikan yang terjejas juga mungkin memerlukan masa lebih lama untuk kembali bangkit dan memulihkan keadaan seperti sediakala.

    “Ramai yang pertama kali berhadapan situasi banjir yang tidak dijangka ini. Ada yang berasa trauma dengan pengalaman yang dilalui semasa banjir sebagai contoh terpaksa duduk berjam-jam menahan lapar dan kesejukan di atas bumbung rumah menunggu bantuan sampai.

    Ini termasuklah warga emas, ibu berpantang dan mereka yang mempunyai penyakit kronik,” katanya. – Bernama

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...