Prihatin: pensyarah wanita botakkan kepala

KOTA KINABALU, 17 JULAI – Seorang pensyarah wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) sanggup mencukur rambutnya sebagai tanda keprihatinan terhadap pelajarnya Richelle Hii Hua Yin, 20, yang dikesan menghidap kanser tulang pada hujung Februari lalu.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Dr Bamini Balakrishnan, 39, berkata tindakan membotakkan kepala itu bagi memberi sokongan kepada pelajar itu yang kini sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda bagi Program Pemasaran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan.

Beliau berkata pada awalnya pelajar wanita itu yang berasal dari Beluran, Sandakan, dikesan menghidap kanser tulang di bahagian lutut, namun sebelum menjalani rawatan kemoterapi yang pertama pada awal Mac lalu, pemeriksaan yang dilakukan mendapati sel kanser telah merebak ke paru-paru.

“Semalam dia telah menjalani rawatan kemoterapi kali kelapan dan kami harapkan dia akan beransur sembuh serta pulih seperti sediakala,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. Bamini berkata pelajar tahun pertama itu perlu diberi sokongan agar dia tidak merasa bersendirian ketika melalui saat-saat sukar itu.

“Tiada niat untuk mencari populariti, saya cuma mahu memberikan dia galakan dan keberanian untuk terus kekal positif. Saya juga ingin mengajak rakan-rakan dan orang ramai untuk mendoakan kesembuhan bagi pelajar ini,” katanya sambil menambah Richelle merupakan pelajar yang aktif dalam kokurikulum. Bamini berkata Richelle berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Semester 1 dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.6 dan merupakan anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis). – Bernama