Prihatin terhadap keluarga kurang berkemampuan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 20 NOV – Susulan kejayaan kempen sebelumnya, ahli-ahli Persatuan Wargamas Daerah Belait dan Komuniti Misi Kemanusiaan (KMK) Brunei telah meneruskan lagi penyampaian sumbangan yang diperlukan kepada mereka yang kurang bernasib baik di Daerah Belait, hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan berkenaan telah diadakan di Surau Haji Ibrahim, Kampung Mumong di mana lebih 30 orang dari keluarga yang kurang bernasib baik dan warga emas bukan sahaja dari Kuala Belait malah kawasan pedalaman, menerima sumbangan.

Hadir menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas itu ialah Ketua KMK Brunei, Haji Idris bin Haji Mohd.

Sumbangan berkenaan diharap dalam membantu mengurangkan beban mereka pada masa yang sama menggalakkan orang ramai untuk sama-sama memberi bantuan jika berkemampuan.

Sebelum ini, kempen serupa juga telah diadakan di Rumah Panjang Mendaram Besar dan Persatuan Wargamas juga merancang untuk menjalankannya pada 20 Disember depan di Daerah Temburong sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Haji Idris menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada salah seorang penerima pada majlis berkenaan.