Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    PRISM UBD labuh tirai

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan UBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Progresif Media telah mengumumkan pemenang Festival Filem Pendek PRISM UBD ke-5 2022 dalam majlis penutup yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro Canselor, baru-baru ini.

    Majlis menyaksikan filem bertajuk Lingering arahan Suryane Zaine dari National University of Singapura (NUS) memenangi Anugerah Filem Pendek Fiksyen Terbaik dan filem Menanti arahan Dayang Nur Jazmeen Farzana binti Amirnuddin dari UBD memenangi Anugerah Filem Pendek Buatan Telefon Pintar Terbaik.

    Filem Paws Up arahan Awang Mohamad Arif Zakwan bin Mohamad Amiruddin dari Politeknik Brunei (PB) pula memenangi Anugerah Filem Pendek Dokumentari Terbaik dan The Origin of Gold River Village arahan Awang Muhammad Amar Mubasyir Junaidi dari UBD memenangi Anugerah Filem Pendek Animasi Terbaik.

    Pemenang bagi setiap kategori menerima sijil dan hadiah wang tunai $500 yang ditawarkan penganjur, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) di UBD.

    Manakala itu, filem Street: Excellence Explained arahan Mycs Villoso dari Universiti De La Salle Manila, Republik Filipina memenangi People’s Choice Award yang merupakan kategori tambahan bagi tahun ini tajaan Progresif Media.

    Penyampaian hadiah kepada pemenang Festival Filem Pendek PRISM UBD ke-5 2022.
    Penceramah jemputan ketika sesi perbincangan semasa majlis berkenaan.

    Pemenang telah dipilih berdasarkan undian paling popular yang diperoleh sepanjang tempoh penstriman dalam talian di laman web Progresif Media.

    Ketua Inovasi Digital di Progresif, Haziq Sahrip menyampaikan hadiah wang tunai $300 dan sijil pencapaian kepada pemenang anugerah tambahan berkenaan. Bagi tahun ini, sejumlah rekod 26 filem pendek yang disenarai pendek dari UBD, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), PB, NUS, dan Universiti De La Salle Manila telah ditayangkan dalam tayangan pembukaan pada 15 November, diikuti dengan penstriman dalam talian selama tiga minggu (16 November hingga 5 Disember) yang dianjurkan di Progresif Media, platform penstriman kandungan tempatan terbesar.

    Ketua Pasukan Progresif Media, Olivia Ong dipetik berkata, “Festival Filem Pendek PRISM kelima tahun ini menerima sejumlah 1,337 undian untuk 26 penyertaan filem pendek, berbanding 337 undian tahun lepas. Pemenang memperoleh 23 peratus daripada jumlah undian.”

    Penghakiman kali ini dilaksanakan oleh panel juri antarabangsa yang dipengerusikan oleh Dekan FASS, UBD, Dr Kathrina binti Haji Mohd Daud, dan terdiri daripada dua hakim Brunei iaitu Dayang Rosnani binti Haji Mohd Yussof dari Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) dan A’aqiil Ahmad dari Filterworks Productions, serta dua hakim antarabangsa iaitu Mary Loh dari NUS dan Glorife Samodio dari Universiti De La Salle Manila.

    Keunikan majlis penutupan festival kali ini adalah perbincangan dua panel selepas penyampaian anugerah. Panel pertama ialah sesi ulasan juri tradisional yang dikendalikan oleh Dr Kathrina dan disertai oleh A’aqiil Ahmad.

    Mereka memperkenalkan kepada penonton bagaimana para hakim membuat keputusan muktamad pemenang dalam empat kategori pertandingan.

    Panel kedua dianjurkan oleh Progresif Media bertajuk Creators’ Panel: The Realities of a Budding Filmmaker in Brunei, yang disertai oleh empat penceramah jemputan, kesemua pembuat filem muda di Brunei yang terdiri daripada Natasya Jazmeena, Azeez Danial dan Akmal Marhain serta dikendalikan oleh Iskandar Karim.

    Kedua-dua perbincangan panel sangat bermanfaat dan memberi inspirasi kepada pelajar pembuat filem dari UBD dan institusi pengajian tinggi lain di Brunei. Berikutan majlis penutup, semua filem pendek finalis telah ditayangkan di saluran YouTube rasmi FASS UBD pada hari yang sama untuk mereka yang berminat untuk menonton semula 26 judul terpilih.

    Beberapa pelajar pembuat filem akan berpeluang berbincang dengan Progresif Media tentang cara mengkomersialkan karya filem pendek mereka berdasarkan perjanjian perkongsian hasil SVOD yang ditandatangani antara pelajar dan Progresif Media.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...