LONDON, 6 SEPT – Setiausaha Dalam Negeri Britain, Priti Patel kelmarin meletak jawatan beberapa jam selepas Setiausaha Luar Liz Truss dipilih sebagai pemimpin baharu Parti Konservatif, lapor Agensi Anadolu.
Truss bertemu Ratu Elizabeth II hari ini, dan dilantik sebagai Perdana Menteri baharu secara rasmi serta mengumumkan anggota kabinetnya.
Dalam surat peletakan jawatannya yang ditujukan kepada bekas Perdana Menteri Boris Johnson, Patel menulis: “Sudah menjadi penghormatan dalam hidup saya untuk berkhidmat kepada negara sebagai setiausaha dalam negeri selama tempoh tiga tahun dan menunaikan komitmen menyokong dan membentuk pasukan polis, bersama-sama bekerja keras bersama penegak undang-undang, memperbaharui sistem imigresen dan suaka, serta memerangi keganasan.
“Sokongan awda sepanjang tempoh ini telah memberi pembaharuan dan pelaburan yang tiada tandingannya,” ujarnya.
Sepanjang memegang jawatan sebagai setiausaha dalam negeri, Patel berdepan isu pendatang asing tanpa izin menggunakan bot-bot kecil yang melintasi Selat Inggeris.
Mengenai pengganti Johnson, Patel menulis, “Saya mengucapkan tahniah kepada Liz Truss kerana dipilih sebagai pemimpin baharu kami, dan saya akan memberikan sokongan sebagai perdana menteri baharu kami.”
Beliau berkata beliau memilih untuk meneruskan perkhidmatannya dalam sektor awam dan kawasan pilihan raya Withamnya, sebaik sahaja Truss secara rasmi memegang jawatan itu dan setiausaha dalam negeri dilantik.
Dalam pada itu, Liz Truss hari ini secara rasmi menjadi perdana menteri baharu Britain, selepas pertemuan dengan ketua negara Ratu Elizabeth II berikutan peletakan jawatan Boris Johnson. Truss, 47, dilihat dalam gambar rasmi berjabat tangan bersama Ratu Elizabeth untuk menerima tawarannya untuk membentuk kerajaan baharu dan menjadi perdana menteri ke-15 dalam tempoh 70 tahun pemerintahannya.
Upacara simbolik itu berlangsung di Balmoral, Scotland, disebabkan Ratu Elizabeth II, 96, dinasihatkan untuk tidak melakukan perjalanan jauh atas faktor kesihatan. – Bernama/AFP