PRN Sabah: 16,877 polis, tentera dan pasangan mengundi awal hari ini

KOTA KINABALU, 21 SEPT – Pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 bermula esok dengan seramai 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka akan mengundi di 55 pusat mengundi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak berkata daripada jumlah itu, 7,487 merupakan anggota tentera dan pasangan serta 9,390 anggota polis.

“Bagi tujuan ini, Pusat Pengundian Awal akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan COVID-19 seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian penutup mulut dan hidung, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan untuk proses undi awal itu.

Katanya, pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang telah dilantik oleh SPR, selain SPR juga akan menyiarkan proses pengundian berkenaan secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR. – Bernama

Petugas SPR melakukan persiapan pusat mengundi hari pengundian awal di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontijen Sabah, kelmarin. – Bernama