PRN Sarawak bermula dengan penamaan calon hari ini

KUCHING, 5 DIS – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bermula esok dengan proses penamaan calon di 82 pusat penamaan calon (PPC) seluruh negeri bermula pukul 9 pagi.

Tidak seperti sebelum ini, PRN ke-12 ini diadakan dalam suasana berbeza susulan pandemik COVID-19 iaitu setakat ini hanya Sarawak dan Kelantan masih berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara, manakala negeri-negeri lain sudah beralih ke Fasa Empat.

Bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hanya calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka dibenarkan masuk ke PPC bagi mengemukakan kertas pencalonan calon.

Penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak dibenarkan masuk, begitu juga sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

Bakal calon pula diberi tempoh sejam untuk mengemukakan borang pencalonan dan bagi memudahkan proses penamaan calon, bakal-bakal calon diseru agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Calon-calon dan parti politik diberi tempoh 12 hari untuk berkempen sebelum tarikh mengundi pada 18 Dis sepertimana ditetapkan SPR. – Bernama

Pekerja pembersihan melakukan kerja-kerja sanitasi di Pusat Penamaan Calon N.73 Piasau bagi Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak ke- 12 di Kompleks Islam Sarawak, semalam. – Bernama