PRN Sarawak perlu kerjasama telco

MELAKA, 14 NOV – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat memerlukan kerjasama dari syarikat telekomunikasi (telco), bagi menjayakan kempen secara dalam talian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata ia bagi memberikan peluang kepada semua pihak untuk berkempen secara dalam talian, seperti yang dilaksanakan pada PRN Melaka ketika ini.

“Jadi untuk tujuan pilihan raya, kerana kita menjangkakan mungkin pilihan raya akan berlaku sedikit masa lagi sekitar bulan Disember, jadi langkah sementara ini penting.

“Jadi sekali lagi kita perlukan kerjasama telco untuk pergi ke kawasan-kawasan yang kurang daya komersial, kerana jumlah penduduk tidak tinggi tapi dalam konteks pilihan raya, semua kawasan perlu diberikan peluang supaya program berkempen secara dalam talian dapat dilaksanakan,” katanya hari ini.

Beliau berkata tidak seperti penggunaan internet di Melaka yang disebabkan tiga faktor iaitu pelancongan, persekolahan dan PRN, Sarawak sebaliknya tertumpu kepada soal masalah liputan khususnya di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai rangkaian perkhidmatan internet.

“Jadi di situ kita telah bersetuju untuk meningkatkan penggunaan jalur lebar satelit tetapi untuk pilihan raya, kita nak kena tengok secara lebih terperinci kawasan mana dan apa masalah…dan saya akan ke sana minggu hadapan.

“Kita akan tengok bagi memastikan semua pusat, terutama pusat mengundi kita kena pastikan kita ada kemudahan perkhidmatan internet. Ini supaya kita dapat membuat liputan daripada semua kawasan mengundi, tetapi kalau nak untuk kesemua kampung itu belum (lagi). – Bernama

Orang ramai meluangkan masa dengan bersiar-siar bersama ahli keluarga pada cuti hujung minggu di Jambatan Darul Hana pada 14 November. Rakyat negeri Sarawak akan menghadapi Pilihan Raya Negeri selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri. – Bernama