Produk Extra Looksliim dicemari

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai bahawa produk Extra Looksliim, Lemon Tea Flavoured (gambar bawah) yang dikeluarkan oleh AS Legacy Sdn Bhd, Malaysia telah didapati mengandungi bahan racun berjadual terkawal.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hasil dari ujian makmal yang telah dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan mendapati bahawa produk berkenaan mengandungi sibutramine yang boleh membahayakan kesihatan.

Kenyataan menjelaskan bahawa sibutramine adalah sejenis bahan yang direka sebagai agen pelangsing badan.

Walau bagaimanapun, penggunaan sibutramine dalam rawatan obesiti adalah ditegah kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati.

Pengambilannya juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur dan dalam kes-kes yang paling teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.

Sehubungan dengan ini, Kementerian Kesihatan menghendaki para pengguna yang
memiliki produk terbabit (jika ada) untuk menghentikan pengambilannya dengan
serta-merta dan hendaklah menyerahkannya ke Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar atau pejabat-pejabat kesihatan di daerah-daerah untuk dimusnahkan.

Para pengimport dan peniaga dikehendaki untuk menarik balik produk terbabit dari pasaran dan menyerahkannya ke Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar atau pejabat-pejabat kesihatan di daerah-daerah juga untuk dimusnahkan.