Produk Halalan Thayyiban punya keistimewaan tersendiri

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban (SAPPHAT) ke-5, 2021 anjuran Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerusi Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban telah berlangsung secara maya hari ini, bersempena Festival Disember Brunei 2021.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian seminar bertemakan ‘Industri Halal di tengah pandemik COVID-19’ itu ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang turut menyampaikan ucapannya.

Beliau antara lain menyatakan bahawa ujian wabak COVID-19 ini bukanlah sebagai satu kelonggaran atau alasan untuk mengabaikan perkara-perkara yang berkaitan dengan halal serta yang berkaitan dengan keselamatan kualiti dan kesihatannya.

Dr Haji Norarfan turut menyatakan bahawa dengan bertambahnya keperluan utama kepada pelbagai perkhidmatan dan produk halalan thayyiban telah membuktikan bahawa konsep berkenaan mampu membawa kepada pelbagai kebaikan dan keberuntungan yang bersifat universal serta mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Menurut kenyataan UNISSA, seminar sehari berkenaan menampilkan empat orang pembentang ucaptama dan 22 orang pembentang poster serta turut disertai oleh lebih 200 penyertaan yang terdiri daripada peserta dari dalam dan luar negara.

Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim dalam ucapannya selaku pengerusi SAPPHAT ke-5 menjelaskan, seminar bertujuan untuk mengenal pasti keperluan dan kesinambungan industri halalan thayyiban dalam perjalanan hidup manusia di muka bumi khasnya dalam situasi dunia berdepan dengan cabaran wabak COVID-19.

Di samping itu, ia memperkasakan perbincangan para cendekiawan dan pengamal industri halalan thayyiban dalam menjayakan perkembangan industri halal ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Seminar berkenaan turut menyaksikan tiga orang sijil pembentang terbaik dan tiga lagi menerima sijil poster terbaik dalam kategori platinum, emas dan perak.

Dr Haji Norarfan ketika menghadiri majlis perasmian Seminar SAPPHAT kali ke-5 secara maya itu. – Gambar Serahan UNISSA