‘Profesor’ bom Indonesia dipenjara seumur hidup

JAKARTA, INDONESIA, 8 DIS – Sebuah mahkamah Indonesia hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang militan Islam setelah mendapatinya bersalah membuat bom dalam serangan pasar tahun 2005 yang membunuh 22 orang.

Upik Lawanga dikenali sebagai ‘profesor’ melarikan diri selama 16 tahun merupakan anggota penting rangkaian militan Jemaah Islamiyah yang Amerika Syarikat (AS) namakan sebagai kumpulan pengganas.

Mahkamah Daerah Jakarta Timur mendapati Lawanga, 43, bersalah terlibat dalam serangan pada 28 Mei 2005 di pasar Tentena di daerah Poso yang membunuh 22 orang dan mencederakan 91 yang lain kebanyakannya penganut Kristian.

Konflik Islam-Kristian di Poso, wilayah Sulawesi Tengah telah mengorbankan kira-kira 1,000 orang dari tahun 1998 hingga 2002.

Selain terlibat dalam serangan Bali yang membunuh 202 orang pada tahun 2002, Lawanga juga dituduh membuat bom yang digunakan ke atas serangan bas mini penumpang pada 2004 yang membunuh enam orang dan serangan 2006 yang membunuh seorang wanita Kristian.

“Apa yang defendan lakukan adalah jenayah ke atas kemanusiaan yang meninggalkan luka yang dalam, trauma dan kedukaan kepada keluarga mangsa,” kata hakim yang bersidang, Sutikna.

Lawanga berkata dia akan membuat rayuan dan menekankan yang dia hanya membantu membuat bom atas arahan anggota kanan kumpulan militan tersebut tetapi tidak melakukan serangan serta mengatakan dia tidak tahu bagaimana bom itu akan digunakan.

Militan lain memaklumkan Lawanga diberi nama ‘profesor’ kerana kebolehannya untuk membuat bom dan senjata api. Mereka menggambarkannya sebagai figura penting kerana kepakarannya membuat bom yang dipelajari daripada Azahari bin Husin, pembuat bom warga Malaysia yang terbunuh dalam serbuan polis di Indonesia pada 2005.

Lawanga yang nama sebenarnya Taufiq Bulaga meninggalkan Poso selepas serangan tahun 2005 dan membina kehidupan bersama isteri serta anaknya di Lampung sebagai penternak itik. – AP

Gambar fail 16 Disember 2020 menunjukkan Upik Lawanga semasa ditangkap di Tangerang, Indonesia. – AP