Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) memaklumkan kepada orang ramai bahawa Program Bandarku Ceria akan diadakan semula bermula pada 15 Mei setelah lebih sebulan ditiadakan di sepanjang bulan Ramadan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEDN hari ini menjelaskan bahawa aktiviti-aktiviti yang dibolehkan adalah aktiviti berbentuk riadah dan juga aktiviti gerai-gerai jualan.
Sehubungan itu, pengunjung dan penjaja semasa program itu adalah dikehendaki untuk mematuhi garis panduan Fasa Awal Endemik bagi kemudahan dan aktiviti kecergasan dan rekreasi serta garis panduan perkumpulan ramai yang berkuatkuasa pada masa ini.
Dengan pembukaan semula program berkenaan, pihak kementerian menyarankan supaya pengunjung dan penjaja untuk sentiasa memberikan kerjasama dan juga mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.
