Program Bandarku Ceria kini diteruskan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Ibu negara kembali ceria apabila Program Bandarku Ceria diteruskan semula hari ini, setelah hampir tiga bulan terpaksa ditangguhkan akibat penularan wabak COVID-19.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam siaran akhbarnya bertarikh 6 Jun 2020 telah pun memaklumkan bahawa program yang ditiadakan sepanjang bulan Ramadan yang lepas diadakan semula bermula hari ini.

Walau bagaimanapun, siaran akhbar berkenaan turut menyatakan bahawa program masih lagi menangguhkan sebarang aktiviti atau acara yang dijalankan secara berpasukan atau berkumpulan yang melibatkan ramai peserta seperti acara larian, walkaton dan seumpamanya yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.

Manakala itu, aktiviti riadah yang dilakukan secara individu dan juga aktiviti berjaja adalah berjalan seperti biasa.

Orang ramai yang berhasrat untuk mengunjungi Program Bandarku Ceria dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan penjarakan sosial, kebersihan diri, mengelakkan dari mengunjungi tempat perkumpulan ramai dan juga mematuhi nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan.

Tinjauan wartawan Media Permata semasa program pagi tadi mendapati, meskipun keadaan cuaca redup dan hujan, ia langsung tidak mengurangkan semangat para penjaja dan pengunjung untuk berniaga dan beriadah di kawasan ibu negara.

Salah seorang penjaja yang namanya tidak ingin didedahkan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana atas izinNya jua, Negara Brunei Darussalam dapat membendung penularan COVID-19 pada ketika ini dan perlahan-perlahan keadaan serta aktiviti di negara ini kembali berjalan seperti sebelumnya.

Sementara itu, Dayang Rusidah binti Haji Abdul Rahman yang mengunjungi Program Bandarku Ceria bersama ibunya turut mengongsikan perasaan terujanya apabila mendapat tahu bahawa program tersebut kembali berjalan pada hari ini.

“Ia merupakan peluang bagi saya membawa ibu dan kakak saya keluar serta beriadah sambil membeli beberapa barangan serta makanan yang dijual di sini. Selain itu kami juga dapat melakukan riadah berjalan kaki bersama-sama,” jelas beliau lagi.

Kelihatan seorang pengunjung menaiki kenderaan berhias untuk mengelilingi ibu negara yang kembali ceria hari ini apabila Program Bandarku Ceria diteruskan semula selepas hampir tiga bulan ditangguhkan kerana pandemik COVID-19, walau bagaimanapun sebarang aktiviti berpasukan atau berkumpulan masih lagi ditegah. – Gambar oleh Bahyiah Bakir.
Suasana di kawasan ibu negara semasa Program Bandarku Ceria.
Antara sukan acara persendirian bagi memeriahkan acara di Program Bandarku Ceria. – Gambar oleh Bahyiah Bakir