Program bangunkan masyarakat berdaya tahan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 4 OGOS – Seramai 33 orang pelajar dan lima orang guru Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut, Kuala Belait berpeluang belajar mengenal pasti dan menilai risiko serta bagaimana bertindak balas semasa Program Pengurusan Risiko Bencana di Sekolah (SBDRM) yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di dewan sekolah berkenaan.

Sepanjang program dua hari yang dikendalikan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) itu, para pelajar Tahun 9 hingga 11 dan guru meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai mengenal pasti risiko dan bertindak balas pantas dan selamat terhadap risiko.

Di samping itu, program juga menyaksikan para pelajar dan guru terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti apa yang patut dan tidak patut dilakukan sebelum, semasa dan selepas bencana, Nature Power, Grab Bag, Hazard Visit dan merangka pelan tindakan untuk digunakan oleh warga sekolah.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup program itu ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang) di KHEDN, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Pada majlis penutup itu, tetamu kehormat bukan sahaja menyaksikan beberapa aktiviti terakhir yang dijalankan pada penghujung program malah menyampaikan sijil penyertaan serta cenderahati kepada para pelajar dan guru yang menamatkan program tersebut.

Menerusi program itu, NDMC berharap untuk membangunkan masyarakat yang berdaya tahan yang mampu mengatasi sebarang cabaran daripada bencana atau malapetaka yang tidak diduga.

Salah satu aktiviti yang diadakan sebagai sebahagian daripada program yang berlangsung di Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut, Kuala Belait.