Program bantuan bakul makanan rakyat Sabah ditambah baik

KOTA KINABALU, 29 OKT – Kerajaan negeri Sabah kini dalam proses menambah baik Bantuan Bakul Makanan bagi memastikan program itu benar-benar dapat membantu rakyat yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmy Yahya berkata mekanisme agihan adalah antara penambahbaikan penting bagi memastikan proses agihan dapat dilakukan dengan pantas dan lancar.

Beliau berkata pihaknya sedang berusaha mewujudkan pusat agihan terutama di kawasan berisiko tinggi COVID-19, dan keperluan itu dilihat lebih mendesak berbanding di kawasan lain.

“Kandungan bakul makanan juga akan diubah suai dengan memasukkan susu anak damit atau bijirin Nestum mengikut keperluan atau kesesuaian penerima di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun dilapor berkata kerajaan negeri secara prinsip bersetuju memperluaskan Bantuan Bakul Makanan kepada penduduk yang tidak terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan diberi arahan kuarantin. – Bernama