Program Bas Belia berakhir

Oleh Ak Zaki Kasharan

TUTONG, 13 SEPT – Seramai 40 peserta belia dari usia 15 hingga 25 tahun yang menyertai Program Bas Belia 2019 sempena cuti penggal persekolahan ini diraikan pada majlis penutup yang diselajurkan dengan majlis penyampaian sijil penyertaan program tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung petang tadi di Tamu Pasarneka Serambangun, Tutong berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Program Bas Belia sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan berkenaan merupakan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah berlangsung selama tujuh hari bermula pada 7 September lalu.

Menerusi program berkenaan, para belia telah didedahkan dengan pelbagai maklumat serta informasi yang berguna daripada taklimat serta lawatan yang diadakan di sepanjang program berlangsung.

Juga hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit dan Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung.

Program Bas Belia kali kedua ini diadakan bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan ke arah latihan dan perkembangan diri, kepimpinan, daya usaha dan persefahaman bersesuaian dengan tema Sambutan Hari Belia Kebangsaan, menanam semangat dalam diri dan pendedahan ke arah berkhidmat kepada masyarakat, mengenali dengan lebih dekat lagi identiti, budaya dan masyarakat serta sukan berbentuk tradisi atau masyarakat di setiap daerah.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai bersama para peserta dan mereka yang terlibat menjayakan program itu.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.