Program Bas Belia berakhir

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Seramai 39 orang belia terdiri daripada 27 lelaki dan 12 perempuan yang menyertai Program Bas Belia hari ini menerima sijil penyertaan dalam majlis penutup program berkenaan yang berlangsung di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Program Bas Belia ini mengumpulkan belia dari keempat-empat daerah iaitu 18 orang belia dari Daerah Brunei dan Muara, enam dari Daerah Belait, 11 dari Daerah Tutong dan empat dari Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh wakil peserta dari Daerah Brunei dan Muara, Awang Taher Nazim Haddad bin Gabriel Fouad Haddad dan diikuti dengan ucapan daripada wakil-wakil peserta program dari Daerah Brunei dan Muara, Awang Mohammad Ali Hasan bin Selamat dan Dayang Nuruljannahwajihahafifah binti Armanshah.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama tetamu lain pada majlis penutup Program Bas Belia yang berlangsung
di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Yang Berhormat Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyampaikan sijil kepada salah seorang belia.

Majlis tersebut diserikan lagi dengan persembahan tayangan video Program Bas Belia dan seterusnya penyampaian sijil penyertaan kepada peserta yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

Antara objektif program berkenaan adalah untuk mendidik dan meningkatkan diri ke arah perkembangan, kepimpinan, daya usaha dan persefahaman di samping menanam semangat dalam diri dan pendedahan ke arah berkhidmat kepada masyarakat serta untuk mengenali dengan lebih dekat lagi identiti, budaya dan masyarakat di keempat-empat daerah. Dalam pada itu, program ini merupakan sebagai lambang perpaduan dan integrasi dengan menjelajah ke seluruh negara berlandaskan kepada enam bidang strategi penting dalam dasar belia negara.

Program anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama Jabatan Daerah di keempat-empat daerah itu merupakan yang julung kalinya diadakan selama tujuh hari bermula pada 8 hingga 14 September.