Program Belia Masjid Prihatin 2.0 mula kumpul dana

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Dalam sama-sama membantu meringankan bebanan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Program Belia Masjid Prihatin 2.0 kembali membukakan peluang kepada orang ramai menghulurkan sumbangan untuk membeli barangan keperluan bagi petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membendung penularan wabak di negara ini.

Di samping itu, program berkenaan juga diadakan untuk memberi sokongan dan bantuan buat para pesakit COVID-19 yang ditempatkan di pusat-pusat pengasingan yang telah ditetapkan pihak kerajaan.

Program berkenaan dijalankan buat kali kedua yang mana pada 2020, ia telah berjaya memberikan sumbangan keperluan asasi kepada 736 buah keluarga.

Program berkenaan adalah inisiatif beberapa belia masjid yang dikenali aktif di negara ini seperti Belia Masjid Ashabul Akhyar, Belia Masjid Ashabul Haliim, Belia Masjid Ash-Shaliheen, Kumpulan Belia ‘IbadurRahman, Kumpulan Syababul Iman, Belia Syababurroja dan Belia Masjid RPN Kampung Pandan.

Orang ramai yang ingin membantu menjayakan projek berkenaan bolehlah menghulurkan sumbangan melalui online transfer kepada akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong dan tangkap layar transaksi perlulah dihantar kepada pihak urus setia program melalui aplikasi WhatsApp.

Antara barangan yang diperlukan setakat ini untuk para petugas di barisan hadapan dan mereka yang terjejas oleh wabak COVID-19 ini adalah pelitup muka, apron plastik, sarung tangan, cecair pensanitasi tangan, sabun pencuci tangan, cecair antiseptik, tisu basah, barang mandian, ubat gigi, pencuci baju, makanan asasi harian dan banyak lagi.

Barang-barang yang akan dibeli hasil derma orang ramai akan diagihkan kepada para petugas barisan hadapan dan pesakit COVID-19 pada hujung September ini dan sepanjang Oktober.