Friday, December 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program bermanfaat untuk semua

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Jabatan Penerangan melalui Unit Hubungan Masyarakat, hari ini, telah meneruskan lagi Program Masyarakat Bermaklumat dengan membawa ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Besar, Kampung Sungai Belukut dan Kampung Menunggol Mukim Kota Batu melawat ke Rimba Garden Central (RGC).

    Kehadiran seramai lapan orang peserta program berkenaan telah disambut oleh Penyelaras Projek K.N.Nursery Sdn Bhd, Awang Jamalludin bin Haji Yusoff dan sebelum dibawa melawat ke kemudahan-kemudahan yang ada, selain turut mendengar penerangan secara lebih jelas mengenai taman tersebut.

    Turut hadir semasa program lawatan berkenaan ialah Ketua Unit Hubungan Masyarakat di Jabatan Penerangan, Awang Khairulhadi bin Haji Muhd Muhtaddir.

    Salah seorang peserta program yang merupakan ahli MPK Sungai Belukut, Haji Asri bin Haji Putih ketika ditemui Media Permata menjelaskan bahawa Program Masyarakat Bermaklumat itu memang amat bermanfaat khususnya kepada rakyat dan penduduk di negara ini kerana ia sesuai dengan Wawasan Brunei 2035 yang memerlukan setiap warga masyarakat di Brunei untuk mengetahui banyak ilmu pengetahuan.

    “Dengan adanya Program Masyarakat Bermaklumat ini, adalah satu cara untuk memberikan pengetahuan mengenai apa-apa sahaja yang berhubung kait dengan pengetahuan duniawi dan ukhrawi.

    Peserta-peserta program ketika dibawa melawat ke kawasan Rimba Garden Central.
    Para peserta program bergambar ramai bersama pihak Rimba Garden Central dan Jabatan Penerangan.

    “Untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, sebagai penduduk dan rakyat di Brunei Darussalam ini mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, kerana dengan adanya ilmu pengetahuan yang tinggi maka kita akan dapat mengangkat nama negara untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama-sama dengan warga dunia antarabangsa,” tambahnya.

    Mengulas mengenai Rimba Garden Central, Awang Jamalludin berkata bahawa ia merupakan langkah yang baik bagi pihak syarikat di mana mereka mendapati bahawa sambutan orang ramai terhadap penjualan bunga-bunga di Brunei adalah sangat menggalakkan.

    “Jadi, bermula daripada itu, pengurusan syarikat mengambil langkah untuk membina Rimba Garden Central yang bermula pada 2014.

    “Ini adalah satu pembaharuan dalam konsep jualan dalam bunga-bungaan yang baru kami perkenalkan di Brunei ini di mana orang ramai dapat membeli apa jua keperluan ladang, seni taman dan cenderahati.

    “Apa yang lebih penting lagi ialah syarikat memberikan peluang kepada pengusaha-pengusaha tempatan untuk mempamerkan dan menjual produk-produk hasil mereka sendiri di ruang-ruang yang kami sediakan,” tambahnya.

    Menurut beliau, tujuannya bukan hanya untuk pelanggan tempatan, tetapi ia juga bagi menarik pelancong-pelancong asing untuk datang ke RGC, di mana pelancong-pelancong boleh singgah melihat tanaman-tanaman di Brunei serta membeli cenderahati.

    “Inilah peluang yang perlu kita ambil untuk pengusaha-pengusaha kita bagi mempamerkan produk-produk mereka,” jelas Awang Jamalludin.

    Antara tujuan program berkenaan ialah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberiga perkembangan serta usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat seperti melalui taklimat serta lawatan, dengan harapan dapat mengukuhkan jati diri dan menyuntik semangat dalam terus memberikan kerjasama dalam mendukung aspirasi Negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda