Program Bersua Muka diteruskan lagi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Dalam usaha untuk terus mendekati penduduk kampung di negara ini, Program Bersua Muka telah diadakan di kediaman Pemangku Penghulu Mukim Saba, Ketua Kampung Saba Darat ‘B’, Pemangku Ketua Kampung Pekilong Muara/Kampung Setia Pahlawan Lama dan Pemangku Ketua Kampung Saba Tengah/Kampung Saba Ujong, Haji Mayalin bin Haji Saat.

Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Pemangku Ketua Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Hajah Rabi’atul’adawiyah binti Haji A.Ahmad dan beberapa orang pegawai serta kakitangan Jabatan Penerangan.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, program berkenaan merupakan salah satu aktiviti berterusan jabatan melalui Unit Hubungan Masyarakat dalam usaha untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam hal ehwal kemasyarakatan.

Ia adalah salah satu program di bawah strategi kerja jabatan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan rakyat.

Program ini merupakan platform untuk menyampaikan dasar dan maksud kerajaan demi memelihara perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat, ke arah cintakan agama, bangsa, raja dan negara.

Rombongan Jabatan Penerangan yang diketuai oleh Hajah Rabi’atul’adawiyah dan beberapa orang pegawai Jabatan Penerangan dalam meneruskan lagi Program Bersua Muka yang diadakan di kediaman Haji Mayalin.

Ia juga untuk mendapatkan isu-isu dan pendapat, cadangan yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan, memberigakan dan mempromosikan perkembangan dan kemajuan mukim dan kampung terutamanya tempat dan produk untuk diperkenalkan kepada orang ramai, dalam dan luar negara melalui penulisan rencana Kenali Negara Kitani (KNK) untuk disiarkan di Pelita Brunei selaras dengan peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan.

Melalui program berkenaan, pihak jabatan juga memperkenalkan dan memberigakan aplikasi mudah alih Jabatan Penerangan iaitu ‘InfoDeptBN’ dan seterusnya menerangkan tatacara untuk memuat turun aplikasi tersebut melalui Google Playstore bagi pengguna Android dan App Store bagi pengguna iOS.

Turut ditekankan adalah penggunaan bendera, sepanduk dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional serta bahan-bahan bacaan mengenai Wawasan Brunei 2035 dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 juga dikongsi sama.

Manakala itu, antara yang dikongsikan oleh Pemangku Penghulu Mukim Saba adalah mengenai isu yang berkaitan dengan prasarana, kemudahan awam dan keselamatan penduduk Mukim Saba.