Program Bicara Haji diadakan dalam talian

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Bersempena dengan ketibaan bulan Zulhijjah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Urusan Haji dan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah mengadakan Program Bicara Haji secara dalam talian.

Turut menyertai program yang diadakan secara dalam talian tersebut ialah Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa; Pegawai Perkembangan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji FansuriSharimi @ Mansur bin Mohamad Ali; Penolong Pensyarah, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Haji Mohammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit; Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Haji Sammali bin Haji Adam dan Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

Tajuk-tajuk yang dikongsikan di dalam program tersebut ialah seperti penjelasan kefarduan ibadat haji, dalil dan fadilatnya, penjelasan mengenai istito’ah, hikmah di sebalik penangguhan haji, penghayatan ibadat haji dengan sifat sabar dan amalan-amalan yang disunatkan dari 1 hingga 9 Zulhijjah.

Antara tajuk yang dibentangkan oleh Haji Fansuri Sharimi turut menyentuh mengenai pengertian haji berserta syarat-syarat wajib haji. Selain daripada itu, beliau juga menghuraikan salah satu syarat wajib haji iaitu berkuasa menunaikan ibadah haji.

Selain daripada itu, beliau turut menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai permasalahan berhubung dengan ibadah haji seperti menunaikan ibadah haji dengan perantaraan orang lain ialah orang yang meninggal dunia yang fardu haji wajib ke atasnya tetapi tidak mengerjakannya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang ingin menyaksikan ceramah-ceramah yang disampaikan oleh penceramah-penceramah undangan berkenaan boleh melayari laman YouTube Jabatan Urusan Haji.