Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Program Bina Kapasiti sempena Hari GIS Sedunia

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Bersempena Hari Sistem Maklumat Geografi (GIS) Sedunia, Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) Sdn Bhd telah menganjurkan Program Bina Kapasiti (CBP) Hari GIS di Bilik Persidangan Muslihun, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Nakhoda Ragam, kelmarin.

    Kira-kira 22 orang pelajar dan tenaga pengajar HNTec Geomatics dan HNTec Real Estate dari IBTE Kampus Nakhoda Ragam mengambil bahagian dalam acara tersebut.

    Hadir semasa majlis tersebut ialah Ketua Sekolah Pengajian Perkhidmatan Teknologi Bangunan, IBTE Kampus Nakhoda Ragam, Awang Noorisman bin Mentarais; Pengurus Akademik, IBTE Kampus Nakhoda Ragam, Dayang Shahrimawaty binti Abdul Karim; Timbalan Ketua Eksekutif NiAT, Dayang Siti Nur Aazzah binti Pehin Dato Haji Abdul Aziz; tenaga pengajar dan kakitangan IBTE Kampus Nakhoda Ragam dan NiAT; serta pelajar-pelajar yang mengambil bahagian.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Siti Nur Aazzah menegaskan bahawa GIS telah menjadi elemen penting dalam banyak disiplin dan merentasi setiap aspek sistem maklumat moden, dan semua orang boleh mendapat manfaat daripada pengetahuan GIS dan pembelajaran cara menggunakan teknologi GIS.

    “GIS meliputi penderiaan jauh, imejan satelit dan alat pemetaan. Lokasi adalah segala-galanya pada masa kini. Lokasi memacu kehidupan kita. Data GIS menyediakan longitud, latitud dan risikan (intelligence) lokasi lain.

    Para peserta dan tenaga pengajar bergambar ramai semasa program berkenaan.

    “Pengekstrakan data GIS membolehkan kita menjawab soalan seperti di ​​manakah awda harus mencari perniagaan awda? Di mana untuk membeli rumah? Di manakah awda harus menghantar anak awda ke sekolah? Di manakah saya akan mengurangkan risiko bencana alam? Atau bagaimana awda menggunakan GIS untuk memanfaatkan atau mengekstrak nilai lokasi secara holistik?” jelasnya.

    Beliau seterusnya menjelaskan bahawa sesi itu berfungsi sebagai amalan ke arah menjana pelajar celik ruang yang boleh membayangkan dan menganalisis lokasi, jarak, arah, sambungan, pergerakan dan perubahan menggunakan imejan satelit dan angkasa.

    Program tersebut diteruskan dengan sesi latihan yang disampaikan oleh Jurutera GIS NiAT, Emily Yong Pey Pey yang melatih para peserta menggunakan platform ArcGIS sebelum memulakan aktiviti Hackathon.

    Semasa Hackathon itu, para peserta telah dicabar untuk melakar bumbung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lugu dan RPN Katok dalam dua kumpulan.

    Mereka diberi akses kepada perisian GIS dan peta asas imejan satelit Brunei, yang digunakan untuk mengesan garis besar bumbung seperti yang dilihat dalam imej satelit.

    Setiap kumpulan kemudiannya membentangkan hasil dan peta mereka kepada penonton dan menerangkan cara mereka memperoleh data dan kandungan geografi mereka dengan GIS.

    Dayang Siti Nur Aazzah dan Emily Yong kemudiannya menyampaikan sijil penyertaan kepada para pelajar yang mengambil bahagian.

    Setelah itu, sebuah kumpulan dianugerahkan Speed ​​Mapper, manakala dua lagi diberi anugerah Peta Paling Cemerlang.

    Tujuan acara tersebut adalah untuk mempromosikan penggunaan perisian GIS di institusi pendidikan dan merangsang penyelesaian inovatif menggunakan GIS dan data satelit sambil memperkukuh pelajar dan guru dengan kemahiran dan kecekapan baharu.

    Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif NiAT untuk membina modal insan yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi bagi menyokong Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...