Program biodiesel mampu pulihkan kualiti udara

KUALA LUMPUR, 19 FEB – Pelaksanaan program biodiesel B20 mampu menambah baik kua-liti udara terutamanya di kawasan yang mengalami kesesakan lalu lintas seperti di Lembah Klang yang mempunyai kira-kira 7.2 juta penduduk, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata pelaksanaan program B20 yang mempunyai 20 peratus biodiesel dan 80 peratus diesel petroleum serta program B7 yang diteruskan dalam sektor industri, akan menggunakan kira-kira 1.3 juta tan minyak sawit setahun dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 3.8 juta tan setara CO2 setahun.

“Kajian saintifik telah membuktikan bahawa penggunaan biodiesel mampu mengurangkan pelepasan GHG. Biodiesel juga mengandungi nombor setana yang lebih tinggi. Ini dapat meningkatkan prestasi enjin dan menyumbang kepada pelepasan gas ekzos yang lebih bersih,” katanya kepada Bernama.

Kok berkata penggunaan biodiesel yang hampir mencecah sifar kandungan sulfur, mampu mengurangkan pelepasan gas sulfur dioksida ke atmosfera yang mengakibatkan kejadian hujan asid.

Beliau berkata, kerajaan dengan kerjasama syarikat-syarikat petroleum seperti Petronas, Shell, Petron, Chevron dan BHP akan membekalkan biodiesel B20 secara berperingkat kepada lebih 3,400 stesen minyak di seluruh negara. – Bernama