Program bola sepak lahir pemain berbakat

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Negara Malaysia telah mengambil langkah untuk meningkatkan sukan bola sepak sejak 10 tahun lalu menerusi skim pembangunan bola sepak yang dikenali sebagai Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia (NFDP), menurut salah seorang ibu bapa kepada bekas pemain pasukan remaja yang berpangkalan di Negara Brunei Darussalam.

Awang Zainal Abidin, ayah kepada bekas pemain tengah pasukan DPMM Bawah 16 Tahun, Mohammad Ateeq Hishan, berkata bahawa pembangunan bola sepak dalam rancangan jangka panjang telah dibangunkan oleh bekas pemain kebangsaan Malaysia, Lim Teong Kim.

Lim, yang menghabiskan lebih dari sedekad sebagai pembantu jurulatih bersama pasukan Bayern Munich Bawah 19 Tahun, kembali ke Malaysia dengan misi untuk memulakan projek yang diharap dapat meningkatkan mutu bola sepak kebangsaan.

“NFDP telah dilaratkan ke seluruh negeri di Malaysia,” kata Awang Zainal Abidin semasa temu bual dengan wartawan untuk memberi peluang kepada Mohammad Ateeq untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya di stadium mini Jerudong baru-baru ini. Mohammad Ateeq Hishan, yang merupakan graduan dari akademi Projek Ikan Pusu, baru-baru ini telah dianugerahkan biasiswa di Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) dan Akademi Bola Sepak Cruzeiro.

“Pelajar-pelajar menunjukkan potensi akan dimasukkan ke sekolah dan jurulatih-jurulatih akan mengajar bagaimana program NFDP dijalankan,” kata Awang Zainal Abidin.

Mohammad Ateeq Hishan mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya di stadium mini Jerudong.

“Apabila mereka berada di sekolah, semua pemain di Malaysia akan bermain dengan gaya dan teknik yang sama. Apabila mereka meminta untuk mengadakan latihan pusat untuk kejohanan antarabangsa, kesemua pemain akan bermain dengan permainan yang sama.”

Beliau menambah, “Tidak kira dari negeri mana mereka datang, mereka akan berlatih dalam teknik yang serupa. Program bola sepak mesti ditingkatkan.”

Pemain muda sensasi Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin, yang baru-baru ini diperkenalkan sebagai pemain KV Kortrijk FC di padang latihan mereka di Guldensporen Stadion di Belgium, menggilap bakatnya menerusi program NFDP.

“Program itu merupakan salah satu cara untuk membentuk pemain daripada peringkat akar umbi. Pada masa ini mereka telah menyasarkan pemain dari usia tujuh tahun, dan sebelum ini menyasarkan pemain berusia lapan atau 10 tahun”.

Awang Zainal Abidin berkata kebanyakan pemain yang telah menamatkan pengajian di akademi tersebut akan meneruskan pengajian bola sepak mereka di Kanada, Amerika Syarikat dan Eropah.

“Mereka akan menerima biasiswa untuk memasuki universiti dan bermain dalam liga negara pilihan sebaik sahaja mereka tamat pengajian International Baccalaurete (IB).

“Mereka tidak semestinya bermain dalam divisyen satu tetapi mereka akan mempunyai masa depan,” tambahnya.