Tuesday, August 9, 2022
29.7 C
Brunei

Program Coding.bn labuh tirai

-

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah mengakhiri program Coding.bn Cohort 1 dengan majlis penutup yang diadakan secara maya pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Pengerusi AITI, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw. Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Ar Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abd Rahman; Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; ahli Kumpulan Kerja Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Kerja untuk Sektor ICT (MISC-WG ICT) dan wakil-wakil dari syarikat-syarikat hos Coding.bn.

Menurut satu kenyataan yang diterima AITI, hari ini, Coding.bn adalah satu inisiatif oleh AITI untuk melatih belia tempatan dalam program atur cara berdasarkan standard industri global.

Program latihan ini, disokong MISC-WG ICT bertujuan melengkapi dan mempertingkat kemahiran belia menganggur dengan kemahiran industri yang akan menambah potensi mereka mendapatkan pekerjaan.

Dalam kata-kata pembukaan, Pemangku Ketua Eksekutif AITI dan Pemimpin Bersama MISC-WG ICT, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar menyatakan keperluan untuk membekalkan negara dengan kemahiran digital relevan yang membolehkan belia kekal berdaya saing dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0). Coding.bn menggalakkan pengalaman pembelajaran holistik di mana latihan teknikal digabungkan dengan cabaran dunia sebenar dan pembelajaran profesional diberi tumpuan.

Dato Seri Paduka Haji Matsatejo semasa majlis penutup program Coding.bn Cohort 1 yang berlangsung secara maya baru-baru ini. – Gambar serahan AITI

Dato Seri Paduka Haji Matsatejo dalam ucapannya menekankan bahawa pembangunan tenaga manusia dan bakat membentuk salah satu strategi di bawah Digital Economy Masterplan 2025 yang menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035, yang antaranya menumpu pada kajian permintaan untuk pekerjaan digital dalam semua industri, mengemas kini program pendidikan dan membangunkan bakat tempatan sejajar dengan kemahiran industri.

“Dengan perkembangan teknologi seiring dengan agenda transformasi digital negara, adalah amat penting tenaga kerja masa depan Brunei Darussalam mampu bersaing dari segi digital, lengkap dengan kemahiran yang betul pada masa depan demi menyesuaikan diri dengan pembangunan global yang pesat.

Majlis tersebut juga termasuk sesi perkongsian mengenai perjalanan Coding.bn oleh Ketua Pegawai Eksekutif Recap Sdn Bhd, Hajah Siti Suhaila binti Dato Paduka Haji Abdul Kani, selaku fasilitator yang dilantik untuk Coding.bn Cohort 1.

Beliau menekankan impak gelombang kedua COVID-19 dalam kehidupan dan aktiviti harian dan kepentingan teknologi digital terutamanya dalam cara ia berpotensi menjadi pencetus pertumbuhan ekonomi dan penjana penting kemajuan ke atas mengubah Brunei Darussalam menjadi negara pintar.

Seterusnya, satu perbincangan panel mengenai Tech talent is a Strategic Need telah diadakan di antara Elton Yeo dari Tribe Academy, Singapura dan Ken Ratri Iswari dari Geekhunter, Indonesia. Acara berakhir dengan pengumuman peserta Coding.bn Cohort 1 yang berjaya dan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

Seramai 59 peserta telah menamatkan program Coding.bn yang berakhir pada 30 September 2021. Ada di antara mereka telah mendapat kerja di mana kebanyakan mereka bekerja di syarikat negara tuan rumah dalam kerja berkaitan pemprograman.

AITI akan meneruskan program Coding.bn dengan rekrutmen peserta belia kohort kedua pada awal tahun depan. AITI mengalu-alu syarikat tempatan yang ingin merekrut pengatur cara IT supaya mengambil bahagian dalam Coding.bn sebagai organisasi hos.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -