SHAH ALAM, 6 Ogos – Program mencuci masjid yang dijalankan badan bukan kerajaan Komuniti Cuci Masjid (KCM) sejak 2012 menjadi wadah untuk mengubah ramai peserta terutama remaja untuk menjadi individu lebih baik, kata Pengerusinya Hasnoel Murshim Hashim.
Beliau berkata sebanyak 1,300 masjid di seluruh negara telah dibersihkan sejak program itu bermula.
“Fokus program cuci masjid ini bukan hanya untuk menjaga kebersihan masjid tetapi lebih menjurus kepada usaha membawa generasi muda dan remaja untuk dekat dengan masjid,” katanya. Beliau ditemui pemberita pada Program Cuci Masjid Mega 2017 yang disertai kira-kira 1,000 sukarelawan termasuk golongan remaja di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Aktiviti lima jam bermula 8 pagi itu mendapat kerjasama daripada pihak seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Agama Islam Selangor serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor. Bagi pelajar Mohamad Zulfadhli Ahmad Sobri, ini kali pertama dia menyertai program itu yang turut memberi peluang kepadanya bertanya tentang soal agama.
Seorang lagi peserta, Khairuddin Ali, 23, berkata dia tertarik dengan pengisian program itu yang menekankan soal kebersihan luaran dan dalaman. – Bernama