Program didik golongan mualaf ilmu Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Seramai 41 orang peserta yang terdiri daripada mualaf yang baru memeluk agama Islam, anak-anak mualaf dan peserta bukan beragama Islam menyertai Program Mualaf Mantap 1443H/2021M yang akan berlangsung selama setahun bermula kelmarin.

Perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung secara maya.

Program berkenaan dikelolakan oleh Belia Mualaf As-Syahadah dengan sokongan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Al-Huffaz Management dan Madison Brunei sebagai salah satu usaha untuk menyokong KHEU khususnya Pusat Dakwah Islamiah (PDI) untuk menjadikan mualaf di negara ini bukan sahaja soleh, bahkan secara langsung atau tidak langsung boleh menjadi duta kepada Islam untuk keluarga dan masyarakat sekeliling yang masih belum memeluk agama Islam.

Antara objektif utama program adalah untuk mendidik orang awam terutamanya para mualaf tentang ilmu-ilmu berkaitan dengan Al-Quran dan mengikuti perkembangan mualaf dan menjadikan para mualaf bukan sahaja individu yang soleh, bahkan secara langsung mahupun tidak langsung dapat menyampaikan Islam kepada bukan Muslim.

Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah Hidayah Class atau Hi-Class iaitu sesi perkongsian asas pembacaan Al-Quran dan juga perkongsian ilmu berkaitan Islam dengan lebih mendalam, Halaqah iaitu sesi perjumpaan dalam perkumpulan untuk menghalusi dan menerapkan pembelajaran asas Al-Quran bersama tenaga-tenaga pengajar yang bertauliah, Qiamullail atau Qiam iaitu pengenalan tentang jalan-jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan Masjid Tour iaitu mengenalkan Islam melalui jelajah ke masjid-masjid di negara ini.

Yang Di-Pertua Belia Mualaf As-Syahadah, Dayang Nurul Nadzirah binti Haji Simpon dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis perasmian berkenaan melahirkan harapan agar program berkenaan dapat menjadi wadah untuk mualaf, terutamanya belia mualaf untuk mengisi diri dengan ilmu-ilmu mengenai Islam serta merapatkan jurang ilmu yang terdapat dalam diri mualaf.

Beliau juga berharap agar program ini akan dapat merapatkan lagi silaturahim sesama mualaf serta ahli jawatankuasa dalam sama-sama memperbaiki diri sendiri demi meraih reda Allah SWT.

Antara yang menyertai Program Mualaf Mantap yang diadakan secara maya.