Program dijalani Sree Abiraame atas inisiatif sendiri

KUALA LUMPUR, 1 DIS – Program yang sedang diikuti peluncur ais muda sensasi Malaysia C. Sree Abiraame di Latvia ketika ini adalah inisiatif atlet itu sendiri, demikian menurut Persatuan Meluncur Ais Malaysia (ISAM).

Presiden ISAM Mohamad Fadzli Johan berkata pihaknya tidak menghalang mana-mana atlet yang berhajat bergerak secara individu sekiranya mereka mampu melaksanakannya bersendirian dan persatuan sentiasa menyokong usaha berkenaan.

Beliau berkata program yang diikuti oleh Sree, 9, adalah hak beliau dan sepatutnya tidak dibebankan kepada ISAM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN) sehingga atlet tersebut benar-benar terpilih mewakili Malaysia.

“Setakat yang mampu dibantu oleh ISAM adalah bantuan dan sokongan secara adil kepada semua pihak dan bukannya memilih satu atau dua individu sahaja yang perlu diberikan kelebihan.

“Bukan Sree sahaja yang bergerak bersendirian, sebaliknya terdapat beberapa atlet lain dalam dan luar negara sebagai contoh Abigail Liew di United Kingdom, Sunita Dass (Amerika Syarikat) Ean W (Switzerland) yang berkemampuan meneruskan program latihan persendirian dan sering mendapat sokongan ISAM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Mohamad Fadzli berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa kerajaan seolah-olah ‘diam’ dan tidak menghargai kejayaan Sree dalam pertandingan di benua Eropah termasuk merangkul Trofi Tallin 2021 di Estonia, baru-baru ini selain belum menerima bantuan sewajarnya daripada KBS.

Menurut Mohamad Fadzli artikel berkenaan tidak tepat dan tidak berpaksikan kepada maklumat serta situasi semasa. – Bernama

Sree Abiraame (kiri) menyertai program di Latvia atas inisiatif sendiri. Presiden ISAM berkata pihaknya tidak menghalang mana-mana atlet yang berhajat bergerak secara individu. – Bernama