Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Program Diskusi Inovasi Produk 1K1P labuh tirai

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    TUTONG, 30 MEI – Program Diskusi Inovasi Produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang berlangsung selama empat hari bermula 25 Mei lalu berakhir hari ini dengan majlis penutup diadakan di Dewan Rumah Rasmi Pegawai Daerah Tutong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.

    Program berkenaan merupakan aktiviti Fasa Pertama Program Inovasi Produk 1K1P Daerah Tutong dengan tema Ke Arah Inovasi Produk yang Inklusif. 

    Skop aktiviti termasuk sesi taklimat dan perbincangan berhubung kait dengan 1K1P ke arah perkembangan dan kemajuan produk berkenaan, termasuklah peluang-peluang yang ada mampu diterokai oleh para peserta dalam keusahawanan seperti Program Belia Membangun dan program-program lain yang diperkenalkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) di bawah payung majlis perundingan kampung (MPK).

    Diadakan pada 25, 26, 28 dan 30 Mei, program diisi dengan sesi perbincangan dan taklimat yang disampaikan oleh pihak-pihak berkepentingan, wakil daripada agensi-agensi kerajaan, swasta, persatuan serta perkongsian para usahawan belia dan pengusaha 1K1P.

    Manakala itu majlis penutup menyaksikan tayangan video, ucapan wakil peserta, Awang Mohammad Amirol bin Abdul Rahim dan diikuti penyampaian sijil oleh tetamu kehormat serta sesi bergambar ramai.

    Hadir sama pada majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, pemangku ketua-ketua kampung Daerah Tutong serta para belia.

    Program berkenaan dianjurkan bersama oleh Jabatan Daerah Tutong, Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dan MPK Daerah Tutong dengan kerjasama KHEDN yang bertujuan untuk menghasilkan produk-produk baharu yang berkualiti tinggi, mempunyai nilai komersial, mampu dimiliki dan mendapat permintaan tinggi di pasaran melalui kaedah inovasi kepada produk-produk 1K1P yang sedia ada. 

    Haji Amirol Hafidzin semasa menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta program tersebut di Dewan Rumah Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...