Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Program eksplorasi alam sekitar buka minda pelajar

    DENGKIL – Program Eksplorasi Alam Sekitar Kementerian Pendidikan (KPM) mampu melahirkan generasi berfikiran lebih terbuka dalam menghayati kepentingan flora dan fauna selain memberi kesan jangka panjang dalam pembentukan sahsiah diri seseorang pelajar.

    Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Dasar dan Kurikulum Datuk Pkharuddin Ghazali berkata biarpun KPM telah memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), namun hasrat KPM untuk menambah baik sistem pendidikan melalui program luar bilik darjah tetap diutamakan.

    “Anak-anak ini akan diberi peluang belajar secara seronok dan pembelajaran bermakna serta tidak terhad dalam bilik darjah sahaja.

    “Contohnya, apabila ada ujian akhir tahun, pelajar yang telah menyertai program seperti ini (eksplorasi) dapat menghasilkan sebuah karangan terbaik menerusi pengalaman ditimba,” katanya kepada Bernama dan DidikTV selepas Program Eksplorasi Alam Sekitar Siri Kedua di Paya Indah Wetlands di Jalan Dengkil-Banting.

    Program anjuran KPM dengan kerjasama Yayasan Didik Negara dan FGV Holdings Berhad itu bermula seawal 9 pagi dengan penyertaan 100 pelajar sekolah rendah dari empat sekolah di bawah gugusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Selangor.

    Antara pengisian program kali ini ialah Explorace dan lawatan ke taman kura-kura dan kolam buaya tembaga selain berpeluang memberi makanan kepada haiwan seperti badak air dan landak raya. – Bernama
    Seramai 100 orang murid tahap dua dari empat buah sekolah rendah menyertai program rintis “Eksplorasi Alam Lestari Siri Kedua” di Paya Indah Wetland. – Bernama

    Pkharuddin berkata program eksplorasi berkenaan adalah program rintis di bawah inisiatif Sekolahku Sejahtera: Cinta Alam dengan tujuan mendedahkan dan mendekatkan pelajar dengan flora dan fauna.

    Berdasarkan penghayatannya terhadap program hari ini, beliau berkata rata-rata pelajar memberitahu bahawa hanya pernah menyaksikan kehidupan haiwan di kaca televisyen dan tidak pernah berjumpa secara dekat atau memberi makanan kepada haiwan.

    “Daripada aktiviti hari ini, mereka sangat teruja. Ada yang baru merasai pengalaman pertama dapat beri makan kepada badak air dan landak.

    Pada prinsipnya, pengalaman pertama akan memberi kesan lama dalam kehidupan pelajar dan mereka akan sentiasa sayangi alam sekitar,” katanya terdapat lima lagi siri program eksplorasi yang bakal dilaksanakan termasuk di Sabah dan Sarawak.

    Antara pengisian program kali ini ialah Explorace dan lawatan ke taman kura-kura dan kolam buaya tembaga selain berpeluang memberi makanan kepada haiwan seperti badak air dan landak raya. 

    Pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Seri Fajar, Kuala Kubu Baru Wan Nur Alia Wan Muhammad Farid turut melahirkan rasa seronoknya kerana dapat menyaksikan gelagat haiwan secara dekat.

    “Tadi saya beri makan kacang panjang kepada kura-kura, tengok buaya tembaga. Rasa best,” katanya yang belum pernah menjejakkan kaki ke pusat konservasi haiwan atau zoo sebelum ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...