Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Brunei LNG kelmarin telah melancarkan program EmployAbility untuk membantu membangunkan tenaga kerja tempatan yang berdaya tahan.
Program berkenaan merupakan Program Pelaburan Sosial Kemegahan di bawah tajaan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG Sdn Bhd (Brunei LNG), Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib.
Ia telah dilancarkan di samping Program Perantisan Perintis pada majlis yang berlangsung di Hotel Radisson, di ibu negara, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan pelancaran ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.
Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty dalam ucapan ringkasnya berkata, Brunei LNG adalah antara syarikat pertama dari ASEAN yang menyokong Harnessing Impact with Resilient Employability Digitally (HIRED) yang dilancarkan tahun lalu, projek yang bertujuan untuk menangani isu-isu pengangguran dan mengenai bagaimana ASEAN ketinggalan dalam upskilling dan reskilling.
Beliau berkata, terdapat keperluan segera untuk meningkatkan dan mempelajari kemahiran baharu rakyat kerana kajian telah menunjukkan bahawa 59 peratus belia di ASEAN kekurangan kemahiran industri.
Sementara itu, Hajah Farida dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa beliau amat berbangga kerana dapat mewujudkan visi jangka panjang bagi rakyat Brunei yang berkeupayaan dan boleh diambil bekerja dengan Brunei LNG dan rakan niaga mereka untuk menangani kekangan tenaga kerja yang disebabkan COVID-19 dan mengembangkan kemahiran rakyat Brunei.
“Ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam usaha bersama kami untuk mengukuhkan pekerjaan dan keupayaan warga tempatan, pada masa yang sama membantu merealisasikan Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan sebahagian daripada tugas Brunei LNG, amanah kami, kepada negara,” jelas Hajah Farida.
Beliau turut berkongsi bahawa berdasarkan Tinjauan Tenaga Buruh 2020, negara mempunyai 7.4 peratus kadar pengangguran, yang berjumlah 17,354 orang dan beberapa sebabnya adalah ketidakpadanan kemahiran, kekurangan pengalaman, jangkaan gaji dan lainnya.
EmployAbility akan membangunkan tenaga kerja tempatan yang berdaya tahan untuk menggantikan pekerja asing, mengurangkan pengangguran dan meningkatkan kemahiran pekerja menerusi latihan dan tunjuk ajar termasuk lepasan sekolah atau graduan yang akan menyertai tenaga kerja dan mereka yang sudah bekerja tetapi mahu meningkatkan dan mempelajari kemahiran.
Perjanjian kakitangan tempatan (LPA), yang bermatlamat untuk mengenal pasti, membangunkan dan mengambil pekerja berkemahiran selaras dengan pembangunan tenaga kerja tempatan berdaya tahan yang membantu mengurangkan pengangguran, adalah inisiatif pertama di bawah EmployAbility.
Manakala itu, inisiatif kedua adalah Program Perantisan Perintis di mana Brunei LNG menandatangani perjanjian dengan empat rakan niaga iaitu Adinin Works and Engineering Sdn Bhd (AWE), Tendrill International Sdn Bhd, Zainal Daud Sdn Bhd dan Exceltech Solutions Sdn Bhd pada Julai lalu.
Kakitangan berkelayakan dari empat syarikat berkenaan akan menjalani latihan yang ditaja sepenuhnya oleh Brunei LNG di bawah Program Perantisan Perintis, di mana latihan dalam perkhidmatan akan menggunakan program Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (3C) di bawah Manpower Industry Steering Committee (MISC WG) bagi Tenaga – iSkill’s Industry Skill Certification (ISC).
Majlis pelancaran berkenaan turut meraikan kumpulan pertama terdiri dari lapan kakitangan dari AWE yang akan memulakan latihan dalam perkhidmatan di organisasi latihan berdaftar (RTO) selama tiga bulan diikuti dengan latihan sambil bekerja selama empat bulan di AWE dan pelatih akan dinilai oleh penilai bebas berdaftar untuk mendapatkan pensijilan bertauliah, yang akan merapatkan jurang dalam ketidakpadanan penawaran dan permintaan kemahiran dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.
EmployAbility dicipta sebagai inisiatif yang berhasrat untuk meningkatkan pekerjaan serta memupuk keupayaan, kemahiran, dan kecekapan tenaga kerja tempatan melalui pembinaan keupayaan di mana Brunei LNG akan bekerjasama dengan HIRED, MPEC, MISC, JobCentre Brunei dan pihak berkepentingan lain untuk membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkebolehan dan berkemahiran tinggi.
Sementara itu, keempat-empat pengarah urusan daripada AWE, Tendrill International Sdn Bhd, Zainal Daud Sdn Bhd dan Exceltech Solutions Sdn Bhd semasa berucap pada majlis tersebut, menzahirkan sokongan yang penuh terhadap inisiatif dan program yang dilancarkan dengan menyatakan kesungguhan serta komitmen mereka dalam merealisasikan dan mencapai matlamat yang diharapkan bersama.