Program ‘Hayya Bil-Arabiyyah’ diteruskan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Nov – Bagi menggalakkan penggunaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) telah meneruskan lagi Program ‘Hayya Bil-Arabiyyah’ yang berlangsung di dewan auditorium sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan perasmian program ialah Pengetua SUAMPRIPAHS, Hajah Rusidah binti Haji Talip.

Beliau dalam ucapannya menekankan para pelajar bahawa menuntut ilmu merupakan suatu ibadah yang seharusnya dijadikan sebagai sebahagian daripada kehidupan dengan ikhlas menuntutnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa bersusah payah menuntut ilmu semasa kecil adalah untuk kesenangan sesudah dewasa kelak dan dengannya juga dapat melahirkan individu berakhlak mulia lagi terpuji.

Program ini merupakan aktiviti tahunan yang dikendalikan oleh Jabatan Bahasa Arab SUAMPRIPAHS yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Islam dengan tujuan untuk memberikan peluang kepada para pelajar untuk membina aktiviti-aktiviti seperti permainan dan kuiz Bahasa Arab sekali gus menggalakkan penggunaan ‘Lughah Arabiyyah’ dalam penyampaian, komunikasi dan interaksi bersama guru, pelawat dan sesama pelajar-pelajar yang lain.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyuntik, mendidik, mengasuh dan memupuk minat pelajar-pelajar bertutur dalam Bahasa Arab dan meningkatkan keupayaan pertuturan mudah dalam Bahasa Arab, di samping membina sahsiah dan keyakinan diri pelajar ke arah generasi cemerlang.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk pementasan yang melibatkan pelajar-pelajar SUAMPRIPAHS dan aktiviti-aktiviti lain yang dibukakan kepada pelajar-pelajar sekolah Arab dan institusi-institusi pengajian tinggi.

Program turut dimeriahkan lagi dengan pondok gambar bertemakan Arab dan bazar mini yang menyediakan jualan makanan, minuman dan buku-buku.

Bazar mini dan pondok gambar yang turut diadakan semasa program berkenaan.
Antara yang hadir semasa Program ‘Hayya Bil-Arabiyyah’ yang berlang-sung di Dewan Auditorium SUAMPRIPAHS , kelmarin.