Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 16 NOV – Pelajar dari sekolah-sekolah Arab di seluruh negara berkumpul di Sekolah Arab Belait untuk menunjukkan pengetahuan bahasa Arab mereka ketika sekolah itu menganjurkan Program Hayya Ilal Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) yang berlangsung hari ini.
Program yang bertujuan untuk mengukuhkan keyakinan diri pelajar dan kemampuan mereka untuk bekerjasama secara berpasukan, diadakan untuk kali keempat sejak 2017 seperti yang dijelaskan oleh Pemangku Guru Besar Sekolah Arab Belait, Pengiran Hajah Masniah @Nur Amalina binti Pengiran Hussin semasa ucapan perasmiannya.
Beliau juga menambah bahawa program itu juga berfungsi untuk mempromosikan pembelajaran Bahasa Arab melalui permainan dan aktiviti yang bukan sahaja menguji pengetahuan mereka tentang subjek itu tetapi juga menyuntik detik-detik menyeronokkan dan mendebarkan untuk mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan seiring dengan ilmu yang diperoleh.