Sunday, November 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program hijau tingkat kompetensi pendidik

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Bagi memajukan inisiatif hijau dalam sektor pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Asia Tenggara, SEAMEO VOCTECH dengan kerjasama Universiti Pendidikan Hong Kong hari ini memulakan program latihan dalam negara mengenai Penghijauan TVET yang diadakan di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH.

    Program latihan yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga 14 September itu disertai oleh 25 peserta dari Negara Brunei Darussalam, termasuk pendidik TVET dari SEAMEO VOCTECH, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) dan Politeknik Brunei (PB).

    Hadir selaku tetamu kehormat untuk merasmikan program berkenaan ialah Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli.

    Turut hadir pada program itu ialah Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Haji Norjemee bin Jenek; Profesor Madya dari Universiti Pendidikan Hong Kong dan fasilitator bersama latihan, Dr Margarita Pavlova; serta timbalan pengarah dan pegawai-pegawai dari pusat tersebut.

    Menurut kenyataan, menyedari peranan penting TVET dalam memupuk ekonomi dan masyarakat yang lebih hijau selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kajian terkini telah menekankan keperluan untuk latihan khusus bagi pendidik TVET.

    Kursus latihan itu penting untuk meningkatkan kompetensi mereka dalam melaksanakan dan mengintegrasikan amalan hijau dalam kurikulum mereka.

    Dr Margerita Pavlova bersama pakar-pakar TVET SEAMEO VOCTECH, Dr Paryono dan Dr Jaya Priah, akan menjadi fasilitator bersama latihan itu bagi membantu peserta dalam meningkatkan pemahaman mereka ke arah penghijauan TVET.

    Program latihan itu bertujuan untuk memperdalam pengetahuan dan kemahiran pendidik serta pemimpin TVET dalam memahami cabaran dan peluang untuk menghidupkan industri dan ekonomi, dengan mempersiapkan mereka untuk mengintegrasikan wawasan secara efektif dalam pengajaran dan perancangan strategik mereka.

    Inisiatif itu menandakan langkah penting dalam memperlengkapkan institusi TVET dengan alat dan pengetahuan yang diperlukan untuk memimpin dalam peralihan ke arah ekonomi yang lebih hijau, memastikan tenaga kerja masa depan bukan sahaja mahir tetapi juga peka terhadap alam sekitar.

    Dr Haji Mohd Zamri bergambar ramai semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SEAMEO VOCTECH
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda