Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Program industry Learn and Excel Apprenticeship (iLEAP) dan SkillsHub telah dilancarkan dalam majlis yang berlangsung di Hotel V-Plaza, Kuala Belait, hari ini.
Majlis itu dianjurkan bersama oleh Sekretariat Manpower Planning and Employment Council (MPEC) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Manpower Industry Steering Committee Working Group (MISC-WG) Energy iaitu sebuah jawatankuasa di bawah MPEC.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi MPEC.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.
Pada majlis berkenaan, Ketua MISC-WG Energy, Hajah Rosita binti Haji Hassan dalam kata alu-aluannya menekankan perlunya untuk menangani tahap kompetensi tenaga kerja sedia ada dalam industri tenaga.
Oleh itu, iLEAP bermatlamat untuk menyediakan peluang kepada tenaga kerja tempatan sedia ada dalam sektor tenaga untuk meningkatkan kemahiran dan memperoleh kelulusan yang diiktiraf dalam bidang-bidang teknikal seperti marking-fitting, scaffolding, rigging dan blasting-painting menerusi latihan sambil bekerja dan bimbingan (mentor) di orga-nisasi-organisasi latihan berdaftar yang dilantik.
Selepas berjaya menamatkan program itu, pelatih akan diberikan kelayakan Sijil Kemahiran Industri (ISC) disahkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan Brunei (BNOSS).
Program itu telah dibangunkan oleh MISC-WG Energy dengan kerjasama Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) di mana inisiatif berkenaan akan menyokong aspirasi negara untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, pada masa yang sama, menyediakan peluang pembangunan kerjaya kepada pekerja-pekerja tempatan.
Turut dilancarkan semasa acara berkenaan ialah SkillsHub iaitu sebuah inisiatif yang dibangunkan oleh MISC-WG Energy, L3C dan pemain-pemain industri.
Ia merupakan sebuah platform maklumat sehenti berpusat dikawal yang mengumpulkan bekalan latihan daripada operator-operator industri, penyedia latihan dan syarikat-syarikat yang diiktiraf oleh industri.
SkillsHub bermatlamat untuk menyediakan peluang-peluang pembelajaran sepanjang hayat bagi tenaga kerja Brunei memperoleh pembangunan profesional yang tertinggi menerusi kemudahan latihan dan latihan berkualiti yang mampu dimiliki serta boleh diakses dengan sokongan daripada kolaborasi rapat industri.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada empat buah syarikat yang menyertai iLEAP dan sembilan syarikat yang menyertai sebagai syarikat hos penempatan industri (IP) bagi kohort pertama pelatih-pelatih iSkill.
Semasa acara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew turut melawat pameran yang mengetengahkan MISC-WG Energy dan rakan-rakan kongsi strategiknya termasuk Sekretariat MPEC, Jabatan Tenaga, L3C, Safety, Health and Environment National Agency (SHENA), Brunei LNG Sdn Bhd serta Brunei Asia Pacific Shell Learning Hub (BAPSLH).