Program imunisasi di Serian dijangka bermula 24 Februari

SERIAN, 19 FEB – Program imunisasi di bahagian Serian di sini dijangka bermula pada 24 Feb atau selepas itu apabila kumpulan pertama vaksin dijadual tiba di Sarawak, kata Residen Bahagian Serian Tuah Suni.

Beliau berkata fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan diikuti fasa kedua individu berisiko tinggi dan fasa ketiga orang awam, sambil menambah anggaran bilangan individu yang layak untuk mendapat vaksin itu di Serian seramai 108,000 orang.

“Kami juga ada kira-kira 4,000 anggota barisan hadapan tetapi bilangan yang akan divaksin terlebih dahulu bergantung kepada berapa banyak vaksin yang kami terima,” katanya kepada pemberita semasa latihan simulasi vaksinasi yang dijalankan pejabat kesihatan Serian dalam persediaan menghadapi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Dewan Masyarakat Serian, kira-kira 61km dari Kuching hari ini. – Bernama

Kira-kira 4,000 petugas barisan depan akan divaksin semasa simulasi vaksinasi yang dijalankan pejabat kesihatan Serian dalam persediaan menghadapi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Dewan Masyarakat Serian, kelmarin. – Bernama