Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Program Induksi lahir pendidik profesional, berdedikasi

    Oleh Sim Y.H

    Tidak dapat dinafikan guru atau pendidik adalah nadi utama dan tulang belakang kepada sistem pendidikan negara. Menerusi program perkembangan kapasiti yang disediakan serta sokongan berterusan Kementerian Pendidikan, para guru akan menjadi aset utama dalam membantu mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Oleh itu, pengalaman dan pengajaran yang ditempuhi oleh 120 orang tenaga pengajar baharu dalam Program Induksi Tenaga Pengajar Baharu bagi 2023, dipercayai dapat membantu mereka bukan sahaja memahami Peraturan-peraturan Am dan Peraturan Kerja tetapi juga mengetahui hala tuju berkerjaya sebagai seorang pendidik selain komited dalam mendukung visi dan misi Kementerian Pendidikan.

    Program itu bukan hanya mengetengahkan peranan mereka untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, melengkapkan sukatan pelajaran dan kurikulum tetapi juga mengetengahkan keperluan dalam memastikan para pelajar dapat menguasai pembelajaran mereka dengan baik.

    “Segala pengalaman, kenangan dan ilmu pengetahuan yang dikongsi dalam program ini akan sentiasa kami pegang dan gunakan dalam mendidik generasi baharu terutama sekali pelajar-pelajar berkeperluan khas.”

    Harapan tersebut dikongsi oleh peserta daripada pengambilan tenaga pengajar di bawah Jabatan Pendidikan Khas, Awang Abdul Azim bin Haji Abdul Mutalif semasa majlis penutup program induksi berkenaan, baru-baru ini.

    Awang Akmal Fauzan mengetuai lafaz Ikrar Guru pada Majlis Penutup Program Induksi Tenaga Pengajar Baharu bagi 2023 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.
    Awang Akmal Fauzan mengetuai lafaz Ikrar Guru pada Majlis Penutup Program Induksi Tenaga Pengajar Baharu bagi 2023 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.
    ATAS & BAWAH: Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin menyampaikan sijil kepada para peserta program induksi.

    Dayang Afiqah Bari’ah menyampaikan ucapan semasa Majlis Penutup Program Induksi Tenaga Pengajar Baharu bagi 2023 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.
    Awang Abdul Azim menyampaikan ucapan pada majlis penutup yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.

    Beliau turut menyatakan bahawa bukan sahaja mereka diberikan sokongan dari segi ilmu pengetahuan dan latihan tetapi mereka juga diberikan semangat dan bimbingan dalam mendidik pelajar-pelajar berkeperluan khas.

    Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan bahawa melalui program itu, banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu yang telah diperoleh mereka.

    Awang Abdul Azim menambah, “Akhir kalam, bersama-samalah kita menanai Wawasan Negara 2035 untuk menjadikan rakyat berpendidikan, berkemahiran dan berjaya ke taraf antarabangsa yang tertinggi supaya pelajar-pelajar kita tidak ketinggalan atau tersisih daripada menerima pendidikan yang sama rata.”

    Manakala itu, peserta daripada pengambilan tenaga pengajar dari Program Perantis, Dayang Afiqah Bari’ah binti Haji Emran mengimbas kembali kepada proses pemilihan mereka menjadi guru immersi atau perantis di mana mereka telah berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menguji keupayaan mereka. Namun cabaran tersebut juga telah banyak merangsang keinginan mereka untuk menjadi sebahagian daripada peserta Program Perantis.

    Namun ia hanya merupakan permulaan dalam perjalanan mereka sebagai pendidik di mana menerusi usaha keras dan bimbingan daripada mentor, mereka mampu mengatasi cabaran yang timbul.

    Beliau menambah walaupun keseluruhan perjalanan itu amat mencabar, mereka sentiasa bersedia untuk menghadapinya dan tidak pernah terlepas pandang akan kepentingan tugas dan impak mereka dalam kehidupan pelajar-pelajar.

    Menyentuh mengenai program induksi itu, Dayang Afiqah Bari’ah berkata ia memberikan peluang kepada mereka untuk berkumpul bersama sebagai sebuah komuniti pendidik, untuk berkongsi idea dan pengalaman serta meraikan pelbagai kejayaan yang telah dicapai bersama.

    Sepanjang program induksi itu, tambahnya, mereka telah memperoleh pengetahuan dan kemahiran penting yang akan membantu mereka mengharungi perjalanan kerjaya sebagai pendidik baharu dengan perasaan penuh positif dan kecekalan.

    Bagi mewakili rakan-rakan pendidik yang lain dalam program itu, Dayang Afiqah Bari’ah menyatakan penghargaan kepada semua pegawai dari Kementerian Pendidikan, keluarga, rakan-rakan, pensyarah Universiti Brunei Darussalam, mentor, pemimpin sekolah, guru, penceramah dan fasilitator program induksi atas sokongan berterusan serta bimbingan dari hari pertama mereka membuat pilihan untuk menceburi kerjaya sebagai seorang pendidik.

    Beliau menyatakan kepada rakan-rakan pendidik yang menyertai program berkenaan bahawa di sebalik ketidakpastian yang dihadapi mereka, mereka harus ingat bahawa amanah tugas sebagai pendidik adalah amat bermakna, impaknya amat mendalam dan pengaruh mereka akan dirasai oleh generasi yang mendatang.

    Oleh itu, mereka harus sentiasa meneroka peluang yang baharu untuk berkembang maju dan pada masa yang sama, mengamalkan etika kerja yang baik dan menegakkan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).

    “Mari kita bekerjasama untuk menjadikan Wawasan Negara 2035 satu realiti.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...